KETIKA kes cacar monyet melonjak secara global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu menggesa kumpulan yang paling terjejas oleh virus itu – lelaki yang melakukan hubungan sekssama jantina – untuk mengehadkan pasangan seksual mereka.
Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang pada Sabtu lalu mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global, memberitahu pemberita cara terbaik untuk melindungi daripada jangkitan adalah “mengurangkan risiko pendedahan”.
“Bagi lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, ini termasuk, buat masa ini, mengurangkan bilangan pasangan seksual anda, mempertimbangkan semula hubungan seks dengan pasangan baharu, dan bertukar butiran hubungan dengan mana-mana pasangan baharu bagi membolehkan tindakan susulan jika perlu,” katanya.
Lonjakan jangkitan cacar monyet telah dilaporkan sejak awal Mei di luar negara Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit itu telah lama menjadi endemik.
Tedros berkata pada Rabu lebih 18,000 kes cacar monyet kini telah dilaporkan kepada WHO dari 78 negara, dengan 70 peratus kes dilaporkan di Eropah dan 25 peratus di Amerika.
Lima kematian telah dilaporkan dalam wabak itu sejak Mei, dan sekitar 10 peratus daripada mereka yang dijangkiti berakhir di hospital untuk menguruskan kesakitan, katanya.
Sebanyak 98 peratus kes berlaku pada lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis. – AFP, 28 Julai, 2022.
Komen