Ukraine mahu tingkat eksport elektrik ke EU, kata presiden


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata negaranya akan mempertingkatkan penghantaran bekalan elektrik ke Kesatuan Eropah selepas gergasi tenaga negara Russia Gazprom mengurangkan penghantaran gas ke Eropah pada Rabu. – Gambar EPA, 28 Julai, 2022.

PRESSIDEN Volodymyr Zelensky berkata pada Rabu Ukraine akan meningkatkan eksport elektriknya ke Kesatuan Eropah (EU) ketika blok itu berhadapan krisis tenaga dicetuskan oleh pencerobohan Rusia.

“Kami sedang bersedia untuk meningkatkan eksport elektrik kami kepada pengguna di Kesatuan Eropah,” kata Zelensky dalam sidang media hariannya.

“Eksport ini bukan sahaja akan membolehkan kami tngkat pendapatan kami dalam mata wang asing tetapi juga akan bantu rakan kongsi kami bertahan dengan tekanan tenaga Rusia,” katanya selepas Rusia secara drastik mengurangkan penghantaran gasnya ke Eropah.

“Kami secara beransur-ansur akan menjadikan Ukraine sebagai salah satu penjamin keselamatan tenaga Eropah,” tambahnya.

Grid elektrik Ukraine telah disambungkan ke rangkaian Eropah pada pertengahan Mac, membantu memastikan bekalan mengalir walaupun perang.

Ukraine mula mengeksport elektrik ke Kesatuan Eropah melalui Romania pada awal Julai.

Pengawal selia tenaga Jerman berkata gergasi tenaga negara Russia Gazprom mengurangkan penghantaran gas ke Eropah melalui saluran Nord Stream kepada kira-kira 20 peratus kapasiti pada Rabu daripada 40 peratus.

Negara-negara EU menuduh Rusia mengurang penghantaran bekalan sebagai tindak balas terhadap sekatan Barat berhubung perang Moscow di Ukraine, menolak dakwaan Kremlin mengenai isu teknikal dengan saluran paip.

EU menyokong Ukraine berikutan pencerobohan Rusia pada Februari, menyekat ekonomi Moscow dengan sekatan bertubi-tubi dan memberikan Kyiv “status calon”, langkah pertama ke arah keahlian blok itu. – AFP, 28 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen