PAS hanya mampu menang tipis di Terengganu, kata penganalisis


Diyana Ibrahim

PAS dijangka mempertahankan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tapi hanya dengan kemenangan tipis, kata penganalisis politik.

Pada masa sama, sumber dalam parti lawan PAS, Umno pula masih belum yakin parti itu akan dapat merampas semula negeri itu kerana kelemahan gerak kerja dan isu calon pada masa ini.

Penganalisis antara lain mengaitkan isu kelemahan pentadbiran PAS dalam kerajaan negeri, pola penolakan di kalangan pengundi dan juga pengurangan sokongan dari pengundi tegarnya.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight PAS sukar mengulangi prestasi cemerlangnya dalam PRU14 kerana ketidakcekapan dan isu dalam pentadbiran negeri itu.

Seorang penganalisis Dr Azmi Omar antara lain menyebut dakwaan kerajaan negeri memberi peluang kepada penyokongnya masuk dalam pengurusan anak syarikat kerajaan negeri.

“Dikatakan bahawa penyokong ini diberi dengan gaji banyak tidak setimpal tetapi syarikat tidak untung. Ini isu ketidakcekapan, isu pengurusan.

“Ini belum masuk lagi dengan isu asas seperti masalah kutipan sampah begitu ketara di Terengganu, isu-isu asas begini yang akhirnya mengundang tidak puas hati rakyat,” katanya.

Penganalisis Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata ia menyebabkan rakyat yang dahulunya mengundi PAS akan mengalih sokongan mereka dalam PRU15.

Namun ia tidak bermaksud peralihan sokongan rakyat kepada Umno semata-mata tetapi juga kepada Pakatan Harapan (PH) dan juga undi sabotaj.

“Walaupun kita tahu landskap politik pantai timur ini dua parti ini sahaja mendominasi, tapi pilihan itu tidak semestinya Umno ia turut bergantung tawaran Umno kepada rakyat.

“Jika tawarannya tidak mengenai kepada mereka, kemungkinan pengundi akan beralih kepada blok ketiga iaitu Pakatan Harapan. Jika tidak pun mereka akan sabotaj undi rosak atau tidak keluar mengundi,” katanya.

Ahli lembaga pengarah UniSZA itu juga melihat undi kepada PH tidak akan memenangkan blok ketiga itu tetapi tetap akan menyebabkan undi PAS berpecah .

“Disebabkan itu akan berlaku pengurangan kerusi kepada PAS. Pengurangan ini pun kita tak boleh jangka sama ada kurang dengan 16 kerusi atau lebih,” katanya.

Dalam PRU14, PAS merampas Terengganu dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti mudah selepas memenangi lebih separuh daripada kerusi 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun dari 22 kerusi dimenangi PAS, tujuh kerusi DUN parti Islam itu dimenangi dengan majoriti tipis – antaranya Kota Puteri, Jabi, Ladang, Pengkalan Berangan, Kuala Berang dan Ajil.

Di peringkat Parlimen pula tiga dari enam kerusi dimenangi PAS juga dalam kedudukan bahaya kerana dimenangi dengan perbezaan kurang 10,000 undi.

Kerusi tersebut ialah, Setiu, Kemaman dan juga Kuala Nerus yang mana wakilnya Mohd Khairuddin Aman Razali umum keluar PAS dan menjadi calon bebas pada Mac lepas.

Asalkan bukan PAS

Badan kajian Ilham Centre pula mengesan trend yang mendasar di media sosial berhubung ketidakpuasan hati pengundi ke atas pentadbiran PAS – bukan sahaja di Terengganu malah di Kelantan dan Kedah.

Pengarah eksekutifnya Hisomuddin Bakar berkata wujud kekeliruan sama ada kerajaan negeri PAS mampu bertahan dengan melihat prestasinya dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor.

Jelasnya dalam PRN itu, jumlah undi meningkat sekali ganda maka secara logik sudah tentu di negeri dimenangi PAS akan berlaku pertambahan undi kerana disumbang dari Bersatu.

“Cuma persoalan di sini ialah kita kena lihat berapa ramai kekuatan Bersatu di tiga negeri ini.

“Sebagai contoh kalau kita fokus di Terengganu ini adakah Bersatu negeri ini kuat? Dalam satu kawasan Parlimen berapa ramai penyokong Bersatu ini?

“Kekuatan Bersatu di pantai barat bergantung kepada jentera PAS, dan di negeri PAS adakah jentera Bersatu sekuat PAS atau boleh memberi kekuatan signifikan memberi kelebihan kepada PAS?

Selain trend mengenai isu pentadbiran negeri PAS, beliau juga menjangka sokongan pengundi luar yang pernah menyumbang sejumlah besar undi dalam PRU14 juga sudah berubah.

“Cuma kita masih belum ada kajian tepat untuk ukur penolakan tersebut. Dari hasil dapatan kami bila ditanya pengundi PAS atau Umno, mereka akan kata parti masing-masing akan menang.

“Tapi jika ditanya pengundi luar atau pengundi biasa, apa yang kita dapat 50-50. Mereka akan kata PAS akan jatuh dan bila kita tanya lebih lanjut jatuh yang bagaimana mereka tidak boleh memberi jawapan jitu,” katanya.

Biarpun begitu, beliau berkata yang pasti PAS akan kehilangan kerusi marjinal ini jika gelombang tidak puas hati pengundi berterusan sehingga PRU15.

Pada masa sama Hisomuddin berkata faktor semula jadi seperti kehilangan undi kerana kematian di kalangan pengundi saluran satu atau warga emas juga memberi peranan besar.

Ini kerana beliau menjangkakan akan berlaku kehilangan pengundi yang banyak kerana kematian akibat Covid-19.

“Kebiasaan kematian semula jadi dalam pilihan raya umum ini dalam sekitar 1,000 pengundi bagi satu penggal atau satu (kerusi) Parlimen. Tapi dengan Covid-19 kita anggarkan akan berlaku sejumlah besar pengurangan undi.

“Konteksnya ia bermaksud Umno dan PAS akan hilang pengundi tetap mereka dan akan digantikan dengan anak muda yang pemikirannya lebih kritikal tidak terikat dengan parti dan lebih responsif kepada isu semasa,” katanya.

Hisomuddin menggambarkan senario itu merupakan pertembungan doktrin lama dan gelombang baharu yang akan menyokong parti selain PAS atau digelar Asal Bukan PAS itu.

Beliau berkata segelintir pemimpin seperti Timbalan Menteri Besar Kelantan Nik Amar Nik Abdullah melihat pengundi tidak mempunyai pilihan selain dari PAS.

“Sedangkan sebenarnya pengundi sudah menolak. Cuma sebesar mana itu kita masih belum dapat sukat. Tapi yang kita nampak trend asal bukan PAS memang ke arah itu,” katanya.

Sementara itu sumber dalam Umno turut mengakui buat masa ini parti itu masih belum mampu untuk mengalahkan PAS di Terengganu pada PRU15.

Tetapi sumber itu berkata, kemenangan PAS itu hanyalah kemenangan tipis sahaja dan parti Islam itu akan kehilangan banyak kerusi.

“Buat masa ini dari gerak kerja yang kita buat setakat Julai ini, masih tak nampak lagi Umno dapat mengalahkan PAS,

“Kalah tipis sahaja, mungkin PAS hanya dapat menang 18 atau 17 kerusi macam itu sahaja, katanya.

Sumber itu berkata trend itu mungkin berubah menjelang PRU15 jika Umno dapat memperhebatkan gerak kerja jentera dan menampilkan calon boleh diterima rakyat.

“Masalahnya gerak kerja Umno sekarang tidak sehebat dulu semasa jadi kerajaan negeri. Tapi kita faham mungkin kerana terdapat beberapa kekangan sumber seperti dana.

“Selain itu, Umno Terengganu kena tampilkan lebih ramai calon muda, dan tidak hanya calon dikenali di kalangan penyokong Umno sahaja. Mesti boleh diterima semua parti,” katanya.

Beliau berkata Umno Terengganu juga sepatutnya tidak harus menampilkan sekali lagi calon bermasalah dalam PRU15.

Setiausaha Bersatu, Mohd Zaid Sulaiman pula yakin gabungan PN akan terus cemerlang di Terengganu dalam PRU15 selepas PAS bersetuju untuk Bersatu bertanding di 10 kerusi Dun.

“Memang sudah diumumkan Bersatu akan bertanding. Di mana calon Umno, jadi di situlah ada Bersatu dan sasaran kita 10 kerusi, dan kerjasama Bersatu dan PAS ini memang menunjukkan perkembangan positif.

Jelasnya, hitungan mudah menunjukkan jumlah undi diraih kedua-dua parti di kerusi berkenaan dalam PRU14 menunjukkan ia dapat dimenangi.

“Sebagai contoh di Dun Bukit Besi dalam keputusan PRU14 Umno hanya menang tipis dengan beza 46 undi sahaja.

“Jadi kita nak campur undi PAS ketika itu, dalam 5, 724 undi dan calon Bersatu 487 undi sudah tentu kita akan menang,” katanya.

Mohd Zaid tidak menolak gabungan PN tetap berdepan dengan cabaran terutama isu prestasi kerajaan negeri yang akan memberi tempias kepada sokongan.

“Tapi bagi saya itu isu kecil dan kerajaan negeri juga dilihat cuba memperbaiki kelemahan itu, jadi sentimen saya tidak akan berpanjangan sehingga PRU15,” katanya. – 28 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen