CHINA memberi amaran Washington akan “menanggung akibatnya” jika Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi berdegil untuk meneruskan lawatan ke Taiwan, dengan ketegangan semakin meningkat antara kedua-dua negara.
“Kami menentang keras lawatan Speaker Pelosi ke Taiwan,” kata jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian pada sidang media, hari ini.
“Jika AS meneruskan dan mencabar dasar China… pihak AS akan menanggung semua akibat yang timbul daripadanya,” tambahnya.
Taiwan berada di bawah ancaman pencerobohan berterusan China yang mana pulau tersebut dianggap sebagai sebahagian daripada wilayahnya. China pernah menyebut pulau itu mungkin dirampas secara paksa jika perlu.
Lawatan Nancy Pelosi – belum disahkan ahli Demokrat kanan – mungkin mencetuskan kebimbangan dalam pentadbiran Presiden Joe Biden yang bimbang perjalanan itu mungkin melampaui batas China.
Ia hadir pada masa yang sangat genting ketika Presiden Xi Jinping, pemimpin paling berkuasa China dalam beberapa dekad, bersedia untuk mengukuhkan pemerintahannya akhir tahun ini pada mesyuarat utama partinya.
Pelosi memberitahu pemberita minggu lalu adalah “penting bagi kami untuk menunjukkan sokongan kepada Taiwan,” sambil menafikan Kongres mendesak kemerdekaan untuk pulau itu.
Taiwan mendapat sokongan dwipartisan di Washington yang berpecah belah dan amaran China hanya menyemarakkan gesaan agar lawatan Pelosi diteruskan. – AFP, 27 Julai, 2022.
Komen