Mogok rel baharu di seluruh negara landa UK


Mogok oleh pekerja kereta api di UK menyebabkan kesesakan terutamanya pada waktu puncak. – Gambar EPA, 27 Julai, 2022.

KIRA-kira 40,000 pekerja kereta api Britain bertindak melakukan mogok pada Rabu, sebulan selepas mogok terbesar dalam tempoh 30 tahun ketika UK menghadapi krisis kos sara hidup terburuk dalam beberapa dekad.

Mogok di seluruh negara berhubung gaji dan syarat menyebabkan rangkaian kereta api terhenti dengan hanya satu daripada lima kereta api beroperasi menyebabkan gangguan besar kepada penumpang pada waktu puncak.

Dengan kadar inflasi pada paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun dan dijangka bertambah buruk, krisis kos sara hidup memberikan cabaran besar kepada Setiausaha Luar Liz Truss dan bekas menteri kewangan Rishi Sunak, yang bersaing untuk menggantikan Perdana Menteri Boris Johnson dalam pilihan raya.

Kereta api dan bas bawah tanah London berjalan seperti biasa, tetapi Eurostar mengurangkan bilangan kereta api melalui terowong sebagai kesan mogok, walaupun kakitangannya tidak menyertainya.

Setiausaha Agung Kesatuan Rel RMT Mick Lynch berkata mogok adalah perlu kerana kadar gaji gagal seiring dengan inflasi UK, pada masa ini pada 9.4 peratus dan berada di landasan untuk terus meningkat.

“Network Rail tidak membuat sebarang penambahbaikan pada tawaran gaji mereka sebelum ini dan syarikat kereta api tidak menawarkan sesuatu yang baharu kepada kami,” katanya.

Mogok 24 jam pada Rabu tercetus selepas RMT melancarkan mogok selama tiga hari bulan lepas, yang hampir melumpuhkan rangkaian rel.

“Kerajaan perlu menghentikan campur tangan mereka dalam pertikaian ini supaya majikan kereta api boleh datang dan rundingkan penyelesaian dengan kami,” kata Lynch.

Kerajaan menggesa ketua kesatuan dan pengendali kereta api untuk menyelesaikan pertikaian itu.

“Mereka tidak perlu bercakap dengan menteri untuk menyelesaikannya kerana majikan mereka adalah orang yang mempunyai mandat untuk merundingkan perkara ini,” kata Menteri Pengangkutan Grant Shapps kepada Sky News.

“Ini cuma… cubaan untuk mengalih perhatian,” tambahnya.

Perkhidmatan dijangka disambung semula awal Khamis. – AFP, 27 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen