Bekalan elektrik putus di Lembah Klang, beberapa negeri


Alfian Z.M. Tahir

Menurut aduan pengguna Internet, kawasan terjejas adalah di Petaling Jaya, Shah Alam, Bangi, Selayang, Cheras dan Bandar Sunway. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2022.

BEKALAN elektrik terputus di beberapa kawasan di Lembah Klang dan negeri di Semenanjung sejak tengah hari ini dan berlarutan lebih dua jam.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyebut, gangguan bekalan yang bermula kira-kira 12.40 tengah hari itu dikenalpasti berpunca dari kerosakan di satu pencawang masuk utama di Yong Peng, Johor.

Ia menyatakan, gangguan bekalan antaranya melibatkan Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas, Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota.

Bekalan ke seluruh kawasan terjejas kemudian berjaya dipulihkan sekitar jam 3 petang, menurut syarikat itu.

“Kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB,” kenyataan itu dipetik.

Ia menyebut, gangguan itu melibatkan 10% atau 2.2 gigawatt dari keseluruhan permintaan bekalan elektrik.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memaklumkan gangguan bekalan itu antara lain menyebabkan lampu isyarat di sekitar ibu negara tidak berfungsi. – 27 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen