PELAKSANAAN hukuman mati terhadap empat aktivis prodemokrasi akan memburukkan lagi masalah di Myanmar dan menutup segala usaha ke arah mencapai keamanan di negara yang diperintah junta itu.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan jurucakap Kementerian Luar Thailand Tanee Sangrat berkata negara ini kesal atas kehilangan empat nyawa dan sangat percaya bahawa penggunaan kekerasan, kekejaman dan keganasan tidak sama sekali dapat menyelesaikan perbezaan politik.
Tanee turut mengucapkan takziah kepada keluarga dan insan tersayang empat individu yang dihukum mati itu.
“Kami menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik untuk mencari penyelesaian politik yang kekal, dengan segala kemampuan mereka, agar tiada lagi kehilangan nyawa dan hak rakyat Myanmar untuk hidup dengan aman dihormati,” katanya dalam satu kenyataan.
Propaganda tentera Myanmar pada Isnin melaporkan bahawa aktivis demokrasi Kyaw Min Yu, juga dikenali sebagai “Ko Jimmy,” dan bekas ahli parlimen Phyo Zeya Thaw, serta dua lagi lelaki, Hla Myo Aung dan Aung Thura Zaw, telah dihukum bunuh. Tentera sebelum ini mengumumkan rancangan untuk melaksanakan hukuman mati itu pada Jun 2022.
Keempat-empat individu itu dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah tribunal tentera yang bertindak bertentangan dengan piawaian keadilan antarabangsa.
Sementara itu, Majlis Penasihat Khas Myanmar (SAC-M) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Asean mengambil tindakan bersepadu untuk memberi tekanan sebanyak mungkin kepada junta untuk menamatkan krisis ini.
SAC-M menyeru Asean untuk mengekalkan pendiriannya menolak Min Aung Hlaing dan junta tentera daripada menyertai mana-mana mesyuarat Asean sebagai akibat daripada pemansuhan Konsensus Lima Perkara dan penghinaan terhadap usaha berturut-turut Pengerusi ASEAN untuk mencari penyelesaian bagi Myanmar.
“SAC-M menyeru Asean untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar untuk membangunkan pelan hala tuju baharu ke arah menyelesaikan krisis, bermula dengan penyediaan bantuan kemanusiaan rentas sempadan yang mendesak,” katanya dalam satu kenyataan.
SAC-M juga menyeru semua negara anggota PBB untuk mengiktiraf NUG secara rasmi.
Majlis Keselamatan PBB perlu meluluskan resolusi mengenai Myanmar dengan merujuk situasi itu kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Negara-negara yang telah menyertai Statut Rom ICC juga harus merujuk keadaan di Myanmar kepada mahkamah. Jika ICC tidak boleh bertindak, maka Perhimpunan Agung atau Majlis Hak Asasi Manusia perlu menubuhkan tribunal khas mengenai Myanmar untuk memulakan proses pendakwaan dan membawa Min Aung Hlaing, pemimpin junta dan kroni mereka ke muka pengadilan,” katanya. – Bernama, 27 Julai, 2022.
Komen