Biar peguam negara cabar arahan bayar RM63 bilion, kata Tommy Thomas


Peguam negara perlu diberi ruang pertahan kepentingan Malaysia dalam kes tuntutan waris Sultan Sulu, kata Tommy Thomas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2022.

TOMMY Thomas menggesa peguam negara mencabar arahan mahkamah Perancis supaya membayar AS$14.9 bilion kepada waris kesultanan Sulu yang dianggapnya “menipu dan tidak jujur”.

Bekas peguam negara yang berkhidmat dalam pentadbiran Dr Mahathir Mohamad itu juga berkata, jawatankuasa bertindak tidak perlu ditubuhkan untuk menyiasat isu itu.

“Memandangkan ini terutama sekali satu pertikaian perundangan, peguam negara selaku penasihat perundangan terutama negara perlu diberi ruang mempertahankan kepentingan Malaysia.

“Ia kini dijaga dengan baik. Tidak perlu tubuhkan satu pasukan bertindak khas atau apa juga jawatankuasa.

“Tambahan pula, pertikaian itu sudah pun sampai ke peringkat tinggi pada Julai 2022 sewaktu saya menulis,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan hari ini.

Katanya, penubuhan jawatankuasa hanyalah satu alasan birokrasi untuk tidak membuat keputusan dan kerajaan sepatutnya membiarkan jika peguam negara ingin berunding dengan mana-mana pihak.

Thomas juga berkata, penimbang tara tersebut Dr Gonzalo Stampa juga bertindak bertentangan dengan menulis semula perjanjian tahun 1878 itu.

Katanya, tiada mana-mana sistem perundangan yang membenarkan pihak ketiga mengubah secara radikal mana-mana rundingan yang sudah dipersetujui.

Thomas menyifatkan keputusan Stampa mengarahkan bayaran itu sebagai “per-incuriam” yang sepatutnya terbatal dan tidak boleh dikuatkuasa.

Arahan untuk membayar waris Sulu itu juga dianggapnya menipu dan tidak jujur kerana Stampa mengalihkan prosiding ke Perancis selepas diarahkan oleh mahkamah Sepanyol untuk menghentikan timbang tara tersebut. – 27 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen