NEW York semalam meminta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menamakan semula virus cacar monyet, untuk mengelakkan stigma pesakit yang berkemungkinan menangguhkan rawatan penyakit berjangkit itu.
Di Amerika Syarikat (AS), kes cacar monyet banyak dikesan di New York berbanding bandar di Amerika Syarikat (AS) dengan 1,092 jangkitan dikesan setakat ini.
WHO mengisytiharkan penyakit itu sebagai kecemasan kesihatan global hujung minggu lalu.
“Kebimbangan kian meningkat terhadap kesan yang berpotensi memusnahkan dan stigma mengenai cacar monyet terhadap komuniti yang sudah pun terdedah,” kata Pesuruhjaya Kesihatan Awam New York City Ashwin Vasan dalam surat kepada Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Vasan menegaskan fakta bahawa cacar monyet sebenarnyabukan berasal daripada monyet seperti namanya, dan mengimbas semula kesan negatif akibat maklumat yang salah ketika awal wabak HIV.
Begitu juga isu perkauman yang dihadapi oleh masyarakat Asia diburukkan lagi apabila bekas presiden Donald Trump memanggil Covid-19 sebagai ‘virus China’.
“Penggunaan nama ‘cacar monyet’ mungkin akan mencetuskan semula perasaan trauma perkauman dan stigma – terutama untuk orang kulit hitam dan orang kulit berwarna lain, termasuk golongan LGBTQIA+, dan ada kemungkinan mereka mungkin mengelak daripada terbabit dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan penting atas sebab itu,” kata Vasan.
Lonjakan jangkitan cacar monyet dilaporkan sejak awal Mei di luar negara Afrika Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit itu telah lama menjadi endemik.
Tiada kematian dilaporkan setakat ini di Eropah atau AS.
WHO pada Isnin berkata lebih 16,000 kes telah disahkan di 75 negara setakat tahun ini.
Menurut WHO, berdasarkan statistik hampir semua pesakit cacar monyet setakat ini adalah lelaki, dengan tiga perlima dikenal pasti sebagai lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis.
Vaksin cacar yang ditemui untuk melindungi daripada cacar monyet, dipanggil Jynneos, sudah pun diberi kepada kebanyakan lelaki gay dan biseksual di New York. Bilangan dos vaksin itu bagaimanapun terhad. – AFP, 27 Julai, 2022.
Komen