Peguam utama Najib dilantik, mohon tangguh rayuan akhir kes SRC


Raevathi Supramaniam

Pasukan peguam bela baharu kepada Najib Razak bercadang mohon penangguhan bagi kes rayuan SRC International. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2022.

PASUKAN peguam yang mewakili Najib Razak bercadang untuk memohon penangguhan bagi kes rayuan SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan bermula 15 Ogos.

Dalam surat kepada timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan, Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners berkata firma itu memohon pengurusan kes segera bagi membolehkan mahkamah mendengar permohonan itu.

Dalam surat yang sama, firma itu turut memaklumkan mahkamah peguam kanan Hisyam Teh Poh Teik dilantik sebagai ketua peguam bela bagi kes rayuan SRC International membabitkan bekas perdana menteri itu, menggantikan Muhammad Shafee Abdullah.

“Pada persidangan sebutan kes atau pengurusan kes, kami diarahkan untuk:

“A. Menarik balik rayuan yang belum selesai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan perayu untuk melantik Peguam Diraja (QC) dari United Kingdom (UK) Jonathan Laidlaw secara ad-hoc.

“B. Memaklumkan kepada mahkamah berkaitan penangguhan notis usul yang difailkan pada 7 Jun, 2022 dan perbicaraan rayuan utama ditetapkan pada 15 Ogos, 2022 hingga 26 Ogos, 2022, dengan alasan pasukan baharu mengambil alih pengendalian urusan berkenaan,” kata firma itu.

“Kami memohon maaf kepada mahkamah yang mulia atas segala kesulitan yang berlaku akibat permohonan ini.”

Minggu lalu, mahkamah menolak permohonan Najib untuk melantik QC bagi mewakili beliau pada rayuan akhir.

Dalam permohonannya pada 7 Jun, Najib memohon untuk menambah bukti baharu dan memanggil saksi baharu untuk kes SRC International bagi menyokong dakwaannya berlaku konflik kepentingan oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mengendalikan perbicaraan kes itu.

Beliau juga memohon Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkan keseluruhan perbicaraan kes SRC International terbatal dan mempertimbangkan perbicaraan semula diadakan.

Permohonan itu dijadualkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan pada 29 Julai.

Pada 2020, Nazlan mensabitkan Najib bersalah bagi tujuh pertuduhan jenayah membabitkan wang SRC International bernilai RM42 juta.

Hakim itu menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta terhadap Najib. Keputusan itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan. – 26 Julai, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen