Kedah dicadang jadikan Gunung Inas hutan tadahan air


Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata cadangan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia itu dibuat agar kawasan Gunung Inas tidak boleh 'diusik' serta dapat memberi jaminan keselamatan kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2022.

KERAJAAN negeri Kedah dicadang menjadikan Gunung Inas, Baling sebagai hutan perlindungan yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata cadangan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) itu dibuat agar kawasan itu tidak boleh ‘diusik’ serta dapat memberi jaminan keselamatan kepada rakyat di kawasan itu khususnya.

“Hasil siasatan JPSM dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah mendapati ada penanaman durian hibrid atau durian Musang King yang dilaksanakan di kawasan itu. Saya nak nyatakan yang Musang King bukanlah spesis yang dikenal pasti untuk ditanam sebagai ladang hutan.

“Terdapat 11 spesis (antaranya) akasia, batai, getah klon, balak, jati dan tidak termasuk durian hibrid sebagai spesis ladang hutan tetapi ia telah dilaksanakan di Kedah di bawah kerajaan negeri Kedah seawal 2017, dan pada 2019 kerajaan pada masa itu meluluskan penanaman durian Musang King sebanyak 20 peratus daripada keluasan dibenarkan dan masih lagi dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu kaedah penyelesaian yang dirancang kementerian itu bagi memastikan keselamatan rakyat dijamin khususnya penduduk sekitar Gunung Inas Baling, Kedah berikutan insiden kepala air baru-baru ini.

Takiyuddin berkata Jabatan Perhutanan Negeri Kedah melihat perkara itu sebagai pelanggaran kepada syarat kerana 5,000 pokok durian hibrid yang bukan spesis ladang hutan ditanam di keluasan 52 hektar di atas Gunung Inas.

Beliau berkata isu melibatkan penanaman 5,000 pokok berkenaan tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan terpulang sama ada ia akan dihapuskan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, JPSM mencadangkan supaya kerajaan negeri itu mengambil langkah melakukan penanaman semula atas tanah yang diluluskan untuk ladang hutan seluas 5,000 hektar di atas gunung itu.

“Sama ada nak ditebang yang sudah ditanam atau dikekalkan yang sudah ditanam sehingga habis tempohnya dan ditambah dengan kawasan yang belum ditanam, itu bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan hanya boleh memberi nasihat termasuk pandangan teknikal serta bukan penguatkuasaan dalam kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata siasatan awal kementerian itu melalui Jabatan Mineral dan Geosains mendapati kawasan persekitaran Gunung Inas masih tidak stabil dan terdedah kepada ancaman tanah runtuh serta jatuhan batuan berikutan kehadiran bongkah batuan yang longgar dan tergantung di lereng gunung.

Di samping itu, beliau berkata perubahan arus deras secara mendadak apabila berlaku hujan di kawasan hulu dan kehadiran taburan puing batuan di laluan sungai boleh mendatangkan risiko serta membahayakan keselamatan awam di kawasan itu.

Sehubungan itu sebagai langkah awal memastikan keselamatan rakyat, Takiyuddin berkata satu surat pemakluman rasmi perihal Langkah Kewaspadaan Awam Di Kawasan Tadahan Gunung Inas, Baling, Kedah dihantar pada 22 Julai lepas kepada kerajaan negeri Kedah.

Katanya ia bagi menyarankan kerajaan negeri supaya mengambil perhatian terhadap zon bahaya  dan zon kawalan yang dibangunkan Jabatan Mineral dan Geosains bagi tujuan pengurusan bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains turut menasihatkan agar kawasan pergunungan zon sumber aliran puing itu tidak dibuka kepada awam sehingga keadaan selamat.

Bagi kaedah penyelesaian secara menyeluruh, kementerian melalui Pasukan Khas Siasatan Bencana-Tragedi Baling 2022 sedang menyediakan laporan bersepadu dan dijangka mencadangkan kewujudan kawasan zon terimpak, zon berisiko dan zon selamat.

Laporan itu juga akan menyediakan cadangan dan tindakan susulan mengenai dasar dan pengurusan bencana bagi mengurangkan secara menyeluruh risiko bencana di kawasan itu melalui langkah penyelesaian secara berstruktur dan bukan struktur, katanya. – Bernama, 26 Julai, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen