Jepun hukum mati lelaki tikam orang ramai pada 2008


Menurut mahkamah, punca Tomohiro Kato mengamuk sehingga menikam mati tujuh orang awam di Tokyo pada 2008 dikatakan selepas keyakinan dirinya merosot apabila seorang wanita yang dikenalinya dalam talian secara tiba-tiba berhenti menghantar e-mel kepadanya selepas dia menghantar gambar dirinya. – Gambar EPA, 26 Julai, 2022.

JEPUN pada Selasa melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang disabitkan dengan membunuh tujuh orang dalam satu kejadian tikaman di daerah elektronik Akihabara di Tokyo pada 2008, lapor media tempatan.

Kementerian Kehakiman enggan mengesahkan dengan segera laporan oleh penyiar nasional NHK dan saluran lain yang Tomohiro Kato telah dihukum bunuh atas serangan itu, yang bermula apabila dia merempun orang ramai dengan trak dua tan yang disewa

Kato mengamuk dan menikam prang ramai pada 8 Jun 2008, memberitahu polis: “Saya datang ke Akihabara untuk membunuh orang. Tidak kira siapa, saya akan bunuh.”

Dia ditangkap di tempat kejadian sejurus selepas serangan, di mana dia merempuh ke arah sekumpulan pejalan kaki sebelum keluar dan menikam orang secara rawak.

Polis berkata dia mendokumentasikan perjalanan mautnya ke Akihabara di papan buletin di Internet, menaip mesej pada telefon bimbit dari trak dan mengadu tentang pekerjaannya yang tidak stabil dan kesepiannya.

Anak kepada jurubank, Kato dibesarkan di wilayah Aomori di utara Jepun, di mana dia lulus sekolah menengah terkemuka. Dia gagal dalam peperiksaan kemasukan universiti dan akhirnya dilatih sebagai mekanik, kata laporan.

Pendakwa raya berkata, keyakinan diri Kato telah merosot selepas seorang wanita yang berbual dengannya dalam talian secara tiba-tiba berhenti menghantar e-mel kepadanya selepas dia menghantar gambar dirinya.

Kemarahannya terhadap orang awam semakin memuncak apabila komennya di papan buletin Internet, termasuk rancangannya untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai, disambut tanpa sebarang reaksi, kata pendakwa raya.

Sementara menunggu perbicaraan, Kato menulis surat kepada pemandu teksi berusia 56 tahun yang cedera dalam tikaman itu, menyatakan kekesalannya.

Mangsa “sedang menikmati kehidupan mereka, dan mereka mempunyai impian, masa depan yang cerah, keluarga yang mesra, kekasih, rakan dan kawan sekerja,” tulis Kato mengikut salinan yang diterbitkan dalam mingguan Shukan Asahi.

Serangan itu merupakan pembunuhan beramai-ramai paling dahsyat di Jepun dalam tempoh tujuh tahun dan Kato dijatuhi hukuman mati pada 2011, keputusan yang dikekalkan oleh mahkamah tertinggi Jepun pada 2015.

Hukuman mati Kato yang pertama di Jepun tahun ini dan dibuat selepas tiga banduan dihukum gantung pada Disember 2021.

Jepun antara negara maju yang mengekalkan hukuman mati, dan sokongan orang ramai terhadap hukuman mati kekal tinggi walaupun mendapat kritikan antarabangsa, terutamanya daripada kumpulan hak asasi manusia.

Hukuman dijalankan dengan cara gantung, biasanya lama selepas hukuman. – AFP, 26 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen