PENDUDUK pangsapuri di Jalan Tun Razak, Kampong Bharu menuntut pemaju merundingkan syarat dan tawaran perjanjian sebelum memajukan blok kediaman berusia lebih 50 tahun itu.
Wakil penduduk Mohd Yusoff Yahya berkata mereka sememangnya mahu ia dibangunkan semula kerana blok kediaman lima tingkat di kawasan itu tidak lagi sesuai didiami kerana dimamah usia.
Pengerusi persatuan penduduk itu menegaskan, pemaju harus menghormati permintaan serta tuntutan penduduk dan pewaris pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu.
“Tempat itu kami memang nak ianya dibangunkan. Kami tak nak duduk sana dah. Kami dah tak tahan tinggal di sana. Tempat itu tunggu masa nak runtuh.
“Bukan masalah penduduk tidak bersetuju (kawasan dibangunkan) tetapi kawasan itu tidak sesuai diduduki dengan struktur sekarang.
“Rata-rata penduduk setuju kawasan itu dibangunkan, tetapi dengan melihat tawaran yang nak diberikan kepada kami terlebih dahulu,” kata Yusoff kepada The Malaysian Insight.
Tapak bangunan itu terletak di atas tanah bernilai tinggi itu terletak betul-betul di tepi Jalan Tun Razak di ibu negara, dan berhampiran dengan pangsapuri Sungai Baru yang juga akan dimajukan.
Kawasan berkeluasan 1.49 hektar itu kini menempatkan kira-kira tujuh unit blok yang memuatkan 242 unit kediaman masing-masing berkeluasan 705 kaki persegi (kps), 550 kps, dan 450kps.
Baki 14 unit lagi merupakan kedai yang terletak di bahagian bawah pangsapuri tersebut.
Mengulas tawaran yang diberikan pemaju, Yusoff berkata ia masih perlu dirundingkan untuk menaikkan kadar pampasan kepada pemilik dan waris.
“Tawaran sekarang baik dan dalam keadaan boleh diterima akal, cuma kami pun ada tuntutan untuk memajukan kawasan kita.
“Dari segi bangunkan semula, betul, lebih 80% pemilik dan pewaris setuju kawasan itu dibangunkan. Cuma, tawaran pemaju itu harus dibincangkan terlebih dahulu kepada pemilik dan pewaris,” katanya.
Jelasnya, penduduk mengadakan pertemuan dengan wakil pemaju pada 26 Januari lalu di Keramat Mall berkenaan cadangan pembangunan semula kawasan pangsapuri tersebut.
Antara hasilnya, pemaju bersedia membayar kadar RM888 setiap kaki persegi kepada pemilik dan pewaris yang mahukan pampasan wang tunai.
Namun, pemilik dan pewaris berharap pemaju dapat mempertimbangkan agar kadar itu dinaikkan kepada RM1,000 atau sehingga RM1,200 untuk setiap kaki persegi, kata Yusoff.
Pemaju juga mahu menyediakan rumah transit sementara kediaman baharu siap dibina dan menawarkan RM10,000 untuk urusan perpindahan dan kemasukan semula ke unit masing-masing.
“Pada pandangan saya sebagai pengerusi persatuan penduduk dan kebajikan, (ia) tawaran yang baik, cuma ada penambahbaikan yang harus kita minta daripada tawaran itu.
“Kalau boleh penduduk nak minta RM2,000 sebulan ditanggung pemaju (bayaran rumah transit) kalau kami tak diletakkan di rumah transit setempat.
“Jadi itu salah satu penambahbaikan yang kita minta kepada pemaju yang nak majukan kawasan itu,” kata Yusoff lagi.
Yusoff berkata, mereka berharap pemaju dapat mempertimbangkan permintaan tersebut agar pembangunan semula itu tidak terbantut lagi seperti yang berlaku sekitar 2015 hingga 2016.
Syarikat pemaju pada waktu itu membuat tawaran terbaik kepada pemilik dan pewaris pangsapuri namun gagal mendapatkan persetujuan sekurang-kurangnya 80% daripada mereka, katanya.
Beliau melihat pemaju tersebut kali ini bertindak lebih proaktif dengan membuka pejabat urusan mereka di satu blok pangsapuri tersebut untuk membantu penduduk menyelesaikan isu berkaitan.
“Pemaju mengharapkan mereka dapat membantu pemilik dan pewaris, sekali gus mampu memperolehi kebenaran lebih 80% daripada mereka untuk membangunkan semula kawasan tersebut.
“Untuk membangunkan semula kawasan itu tak terletak di bawah mana-mana pihak berkuasa, sebaliknya di atas persetujuan 80% pemilik dan pewaris, kalau 20% sahaja tak setuju ia tetap akan jalan.
“Tawaran sekarang boleh dipertimbangkan tetapi kami ada hak membuat tuntutan, kalau pemaju beri lebih Alhamdulillah… Tetapi kalau tidak kita kena duduk dan bincang semula,” katanya.

Seorang pemilik, Zulkifli Ishak bagaimanapun mempersoalkan dakwaan lebih 80% pemilik bersetuju dengan tawaran dikemukakan pemaju.
Menurutnya, mereka masih belum menerima sebarang surat tawaran dan tiada pertemuan susulan dengan pemaju selepas selepas pertemuan kali pertama di Keramat Mall.
“Dari mana mereka dapat angka itu, kami pemilik dan pewaris langsung tidak mengetahuinya.
“Pihak kami pemilik tidak menerima satu pun surat tawaran penyerahan hak kami untuk dibangunkan, kami tidak memberi kata putus terhadap tawaran.
“Mungkin ada satu niat tak baik untuk mengelirukan masyarakat dan pemilik unit pangsapuri PKNS Jalan Tun Razak,” kata Zulkifli, 68.
Jelasnya dalam pertemuan itu, pewaris hanya menanda nota kehadiran dan hanya ditunjukkan paparan cadangan tawaran oleh pemaju.
“Mereka katakan akan berbincang dan kembali ke meja rundingan sebagai tawaran terakhir,” katanya.
Zulkifli berkata, antara isu yang belum dapat diselesaikan adalah tuntutan berkenaan pampasan wang tunai untuk membolehkan mereka membina rumah sendiri.
“Contohnya pemberian wang tunai secara sekali bayar. (Pemaju mendakwa) ini pembangunan semula semua kena terima rumah yang diganti.
“Sedangkan, ada pemilik yang ingin bina di tanah sendiri, perkara itu sedang ditunggu dan sampai sekarang tidak ada maklum balas,” katanya lagi.
Tambahnya, penduduk dan pemilik tidak menolak rancangan pembangunan semula sebaliknya hanya mengharapkan tawaran yang adil kepada mereka.
Dalam tawaran itu, pemaju mencadangkan pemilik dan pewaris diberikan unit kediaman bernilai antara RM1 juta hingga RM1.2 juta seunit dalam tempoh antara tiga ke empat tahun sebaik siap dibina.
Unit kediaman tersebut dirancang akan dibina di blok menara pangsapuri setinggi 52 tingkat dengan setiap unit berkeluasan antara 1,000 kps, 1,200 kps, dan 1,500 kps.
Selain itu, pemaju rancangan pembangunan itu turut akan menempatkan menara 1, 2 dan 3 yang merupakan pembangunan bercampur antara unit kediaman dan runcit.
Syarikat pemaju Jiankun International Bhd (JKI) pada Jun dilapor memeterai perjanjian usaha sama dengan Menara Rezeki Sdn Bhd (MRSB) untuk membangunkan semula kawasan berkenaan melalui sebuah syarikat dikenali sebagai Menara Rezeki Properties Sdn Bhd (MRPSB).
Projek pembangunan semula itu dilapor mempunyai nilai pembangunan kasar berjumlah RM1.2 bilion. – 26 Julai, 2022.
Komen