JEPUN pada Isnin mengesahkan kes pertama cacar monyet, yang dikesan terhadap seorang lelaki berusia 30-an yang melancong ke luar negara, kata gabenor Tokyo Yuriko Koike.
“Ia seorang lelaki dalam lingkungan 30-an dengan sejarah perjalanan ke luar negara yang pulang dari Eropah. Ini kes cacar monyet pertama di Jepun,” kata Koike kepada pemberita.
Beliau berkata, lelaki itu dimasukkan ke hospital di Tokyo, tanpa memberikan butiran lanjut.
Kes itu dilaporkan beberapa jam selepas kerajaan Jepun mengadakan mesyuarat pasukan petugas untuk mengumpul maklumat dan bersedia untuk menguji serta menerima pesakit di klinik.
Pada Sabtu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai darurat kesihatan global.
Cacar monyet menjejaskan lebih 16,800 orang di 74 negara, menurut pengiraan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS yang disiarkan pada 22 Julai.
Lonjakan jangkitan cacar moneyt dilaporkan sejak awal Mei di luar negara Barat dan Afrika Tengah yang mana penyakit itu sudah lama menjadi endemik.
Sebanyak 95% kes disebarkan melalui aktiviti seksual, menurut kajian terhadap 528 orang di 16 negara yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine - penyelidikan terbesar setakat ini.
Seorang penghasil ubatan dari Denmark bagi vaksin cacar berkata pada Isnin, Suruhanjaya Eropah sudah meluluskan suntikannya untuk digunakan terhadap cacar monyet.
Panel kementerian kesihatan Jepun akan membincangkan pada Jumaat sama ada vaksin cacar yang disimpan di negara itu boleh digunakan untuk merawat cacar monyet. – AFP, 25 Julai, 2022.
Komen