Tiada kes cacar monyet baharu di Thailand


Seorang warga Nigeria disahkan menghidap cacar monyet di bandar peranginan Phuket pada 18 Julai. – Gambar fail EPA, 25 Julai, 2022.

TIADA kes cacar monyet baharu dilaporkan di Thailand sejak kes pertama dikesan di negara itu minggu lalu.

Ketua kesihatan wilayah Phuket Dr Kusak Kukiattikoon berkata seramai 14 individu yang dianggap berisiko tinggi kerana menjadi kontak rapat dengan pesakit pertama negara itu, disahkan negatif ujian saringan cacar monyet.

“Keputusan bagi tujuh individu lain dijangka diperoleh dalam masa satu atau dua hari,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa kesihatan awam sedang mempergiat pengesanan kes aktif selepas seorang warga Nigeria berusia 27 tahun, yang tinggal melebihi tempoh visanya di Thailand, disahkan menghidap cacar monyet di bandar peranginan Phuket pada 18 Julai.

Bagaimanapun, lelaki itu menghilangkan diri sebaik dimaklumkan keputusan positif saringannya. Dia berjaya ditemukan di Phnom Penh, Kemboja pada Sabtu dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mengarahkan kementerian kesihatan awam dan agensi berkaitan untuk menyediakan pelan tindakan bagi menguruskan risiko cacar monyet di negara itu.

Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Prayuth mengarahkan pejabat imigresen untuk mempertingkatkan pengawasan di pintu masuk negara terutama untuk pelancong dari negara berisiko tinggi.

Beliau berkata, kementerian kesihatan juga meningkatkan amaran cacar monyet ke peringkat nasional dalam usaha menambah keyakinan orang ramai terhadap kecekapan sistem kesihatan negara.

“Orang ramai digesa untuk terus mematuhi langkah pencegahan global bagi mengelak penularan wabak Covid-19 dan cacar monyet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Bernama, 25 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen