Masa untuk semak semula naratif politik Melayu, kata penganjur meja bulat


The Malaysian Insight

Usaha menyemak semula naratif politik Melayu sangat penting dilakukan sebelum pemikiran dan nilai moral mereka semakin kusut dan semakin sukar untuk dileraikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2022.

NARATIF politik Melayu perlu disemak semula selepas orang Melayu sekarang dilihat selesa dan tidak rasa bersalah untuk menerima dan memilih pemimpin yang terlibat dengan rasuah, kata penganjur persidangan meja bulat mengenainya yang akan berlangsung minggu ini.

Penyelaras penganjur persidangan Mahdzir Ibrahim berkata usaha menyemak semula naratif politik Melayu ini sangat mustahak sekarang sebelum pemikiran dan nilai moral orang Melayu semakin kusut dan semakin sukar untuk dileraikan.

“Kita perlu mulakan naratif baharu. Kita mesti sedarkan rakyat bahawa sistem nilai itu perlu dikembalikan ke kedudukan yang betul agar kerajaan yang dipimpin dapat mengurus hidup mereka dengan lebih cekap, bersih, amanah dan berkesan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mahdzir melihat kerosakan nilai politik Melayu sudah sampai ke kemuncaknya apabila amanah yang ada pada pemimpin Melayu boleh dijual beli “dengan harga yang murah.”

“Amanah itu boleh dijual beli dengan ringgit dan jawatan. 

“Amalan ini jadi budaya dan sudah turun hingga ke institusi rakyat, sehingga menyebabkan daya tahan orang Melayu semakin tipis dalam pelbagai hal… ekonomi, sosiobudaya, pendidikan, agama dan intelektual,” katanya.

Beliau memberi contoh bagaimana hari ini orang Melayu sedia untuk memberi atau menerima “rasuah yang halal”, yang mereka anggap sebagai “membalas budi dan jasa”.

“Orang Melayu sudah sukar membezakan antara membalas budi dan jasa dengan menerima atau memberi wang kotor, apalagi untuk memeranginya. Ia sudah berakar dalam budaya Melayu.

“Mereka yang menerima atau memberi rasuah umumnya sedar akan amalan buruk ini tetapi mereka tidak peduli kerana hati telah biasa dengan cara hidup sebegini,” katanya.

Mahdzir mengakui memerangi budaya rasuah adalah pertarungan paling sukar pada zaman ini.

“Lebih sukar daripada memerangi pengganas dan kumpulan munafik,” tambahnya.

Namun beliau berharap soal ini, dan beberapa perkara lain yang menyentuh soal masa depan orang Melayu, dapat diluruskan dengan menyemak semula naratif politik Melayu, yang akan turut mengupas soal nilai moral dan maruah.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan ucaptama di Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu yang akan diadakan Khamis ini di Seri Kembangan, Selangor.

Persidangan sehari ini dianjurkan Perkumpulan Intelektual dan Tokoh Melayu dengan kerjasama Yayasan Sedar, yang dinaungi Dr Mahathir.

Persidangan meja bulat itu membariskan beberapa tokoh dan cendekiawan Melayu yang akan menyampaikan buah fikiran dan pandangan mencakupi isu kepimpinan Melayu, pendidikan, ekonomi, dan sejarah.

Antaranya, tokoh akademik Prof Dr Ahmad Murad Merican (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa), Prof Dr Hood Mohd Salleh dan Prof Kehormat Dr Mansur Md Noor (Universiti Kebangsaan Malaysia), dan Dr Hamidin Hamid (Universiti Malaya).

“Mereka ini pemikir rakyat,” kata Mahdzir.

Beliau menafikan pihak penganjur mengetepikan golongan pemikir muda dan wanita kerana persidangan meja bulat minggu ini adalah siri pertama dalam wacana panjang tentang nilai dan moral orang Melayu dalam konteks masa depan bangsa dan negara.

“Kita akan lanjutkan lagi sesi-sesi wacana dengan lebih meluas. Kita akan libatkan lebih ramai tokoh akademik dan cendekiawan, yang baharu dan muda, yang berminat untuk menyertai inisiatif ini.

“Kita buat berperingkat,” katanya.

Mahdzir juga menjelaskan kesemua mereka ini terlibat secara sukarela.

“Kita jemput ramai tokoh merentas bidang dan generasi. Setakat ini yang kita ada ialah mereka yang bersedia pada masa ini dan yang berminat dengan isu ini,” katanya. – 26 Julai, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen