Sekolah di Sri Lanka dibuka semula


Sekolah awam dan swasta di Sri Lanka ditutup hampir sebulan kerana kekurangan bekalan bahan api. – Gambar fail AFP, 25 Julai, 2022.

SRI LANKA pada Isnin membuka semula sekolah awam milik kerajaan dan swasta yang ditutup selama hampir sebulan akibat kekurangan bekalan bahan api, lapor agensi berita Xinhua.

Bagaimanapun, sekolah hanya dibuka tiga hari seminggu - pada Isnin, Selasa dan Khamis - dan pelajar akan menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian pada Rabu dan Jumaat.

Kementerian Pendidikan juga melanjutkan penggal pertama persekolahan sehingga 7 September ini.

Sekolah juga tidak akan menjalankan peperiksaan pada akhir penggal pertama dan pengetua diarah untuk melaksanakan penilaian alternatif.

Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe mengarahkan pegawai bertanggungjawab untuk membekalkan bahan api kepada pengendali bas sekolah.

Terdapat hampir 40,000 kenderaan digunakan bagi mengangkut pelajar ke sekolah. – Bernama, 25 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen