Edisi kedua ekspo produk antarabangsa bermula di Hainan


Pusat konvensyen dan pameran antarabangsa Hainan yang menjadi tuan rumah Ekspo CICPE di Haikou, China. – Gambar Facebook, 25 Julai, 2022.

EDISI kedua Ekspo Produk Pengguna Antarabangsa China (CICPE) membuka tirainya di Haikou, ibu kota provinsi Hainan, selatan China, pada Isnin.

Acara yang juga dikenali sebagai Ekspo Hainan itu berjaya menarik penyertaan lebih 700 perusahaan dari 61 negara dan wilayah di dunia.

Perusahaan dari negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) turut mengambil bahagian dalam ekspo itu.

Antaranya Korea Selatan, Jepun dan Singapura masing-masing menempah reruai pameran 20% lebih luas berbanding tahun lalu.

Untuk rekod, jumlah jenama yang menyertai CICPE tahun ini mencecah lebih 2,800 berbanding lebih 1,000 tahun lalu.

Ekspo kali ini dijangka menarik kunjungan lebih 40,000 individu yang terdiri pembeli dan pelawat.

CICPE kali ini turut merangkumi pelbagai jenis acara yang menarik termasuk aktiviti interaktif secara fizikal, sesi penyiaran laporan dan pertunjukan fesyen. – Bernama, 25 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen