Pendakwaan diarah serah salinan percakapan saksi utama bicara Syed Saddiq


Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2022.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyerahkan salinan percakapan seorang saksi utama yang dirakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 kepada mahkamah.

Ini selepas Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Azhar Abdul Hamid bersetuju pihak pembelaan berjaya membuktikan terdapat perbezaan dalam keterangan yang direkod oleh SPRM dan keterangan lisan saksi pendakwaan ke-13, bekas penolong bendahari Armada Bersatu Rafiq Hakim Razali.

Azhar berkata perbezaan dalam kedua-dua keterangan tersebut turut diakui oleh pihak pendakwaan.

“Saya mengarahkan pihak pendakwaan untuk menyerahkan salinan rakaman percakapan saksi Rafiq Hakim untuk penelitian dan pertimbangan sebelum tindakan seterusnya (tindakan mencabar kredibiliti saksi) ditentukan,” kata Azhar.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin kemudian bertanya sama ada salinan percakapan itu perlu diserahkan kepada Yang Arif Hakim sahaja atau diberi juga kepada pihak lain.

Azhar berkata salinan percakapan perlu diserahkan kepada mahkamah terlebih dahulu untuk penelitian bagi mengesahkan perbezaan yang terdapat dalam keterangan lisan dan rakaman percakapan berkenaan, sebelum permohonan untuk mencabar kredibiliti saksi ditentukan. 

Jumaat lepas (22 Julai), Syed Saddiq yang berdepan dengan tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram, sekali lagi memohon untuk mencabar kredibiliti Rafiq Hakim susulan terdapat beberapa percanggahan dalam keterangan yang direkod SPRM dan keterangan lisannya di mahkamah, berhubung prosedur pengeluaran RM1 juta daripada akaun bank Armada.

Peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo berhujah percanggahan itu merujuk kepada masa dan tempat arahan yang didakwa diberikan oleh Syed Saddiq kepada Rafiq Hakim dan Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi untuk mengeluarkan RM1 juta dan tujuan acara kutipan dana di Muar.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahguna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Azhar bersambung. – Bernama, 25 Julai, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen