JUNTA Myanmar menghukum mati empat banduan termasuk seorang bekas ahli Parlimen dari parti pimpinan Aung San Suu Kyi dan seorang aktivis demokrasi terkemuka, lapor media tempatan hari ini.
Hukuman mati itu yang pertama dilaksanakan dalam tempoh beberapa dekad di Myanmar.
Keempat-empat banduan terbabit disabitkan atas kesalahan keganasan, lapor Global New Light of Myanmar.
Laporan menyebut hukuman mati dilaksanakan mengikut prosedur penjara, tetapi tidak menyatakan bila dan bagaimana mereka dihukum.
Junta mengenakan hukuman mati terhadap puluhan aktivis sebagai tindakan keras bagi mereka yang menentang rampasan kuasa sejak 1 Februari tahun lalu.
PhyoZeya Thaw yang merupakan ahli Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi ditahan pada November tahun lalu, dan dijatuhi hukuman mati pada Januari lalu selepas disabit kesalahan di bawah undang-undang antikeganasan.
Aktivis demokrasi terkenal Myanmar Kyaw Min Yu atau lebih dikenali sebagai Jimmy juga menerima hukuman sama.
Dua banduan lain dihukum mati atas kesalahan membunuh seorang wanita yang didakwa memberi maklumat kepada junta di Yangon, lapor Global New Light of Myanmar. – AFP, 25 Julai, 2022.
Komen