PERDANA Menteri Najib Razak gagal menyelami cabaran dan sentimen generasi muda, dan tidak berhak untuk memberi nasihat berhubung corak perbelanjaan mereka, kata beberapa remaja hari ini.
Dalam satu sesi soal jawab awal hari ini, Najib berkata golongan muda Malaysia perlu berbelanja mengikut kemampuan mereka, dan menyatakan ada segelintir daripada mereka tidak dapat membezakan antara perbelanjaan kos sara hidup dan gaya hidup.
“Ia hanya menunjukkan bagaimana beliau gagal mendekati golongan muda secara jujurnya,” kata Jen Hui Chong, 21 tahun.
“Beliau kedengaran seperti remaja ini terlalu dimanjakan; seperti kami tidak tahu untuk hidup mengikut kemampuan,” kata Jen kepada The Malaysian Insight.
“Memandangkan gaji purata RM2,000 dan dengan kos hidup dan kos perumahan yang tinggi, saya tidak akan berfikir untuk tinggal di luar kemampuan saya apatah lagi hidup dengan selesa.
“Saya masih perlu bergantung kepada ibu bapa saya untuk hidup dengan cukup, bukan dengan selesa,” katanya.
Pelajar jurusan undang-undang itu berkata tidak adil untuk Najib melabel semua belia tidak tahu berbelanja.
Pada program secara dalam talian itu, Najib memberikan contoh berbelanja RM800 di restoran makanan Jepun dan makan di restoran mamak 24 jam, yang jauh lebih murah.
Contoh itu, kata Jean Vaneisha Ravindran, adalah sangat jauh dengan corak perbelanjaan kebanyakan golongan muda hari ini.
“Saya jadi bimbang bila bil mencecah RM200 lebih,” katanya.
“Kami hanya berbelanja di Nando’s. Ada di antara kami yang memilih Domino’s,” katanya merujuk kepada dua restoran makanan segera popular.
“Pelajar universiti yang tinggal di kampus bercakap mengenai makan mi segera, kicap dan telur selama berbulan.
“Tidakkah anda fikir jika kami mempunyai wang untuk hanya menikmati makanan yang lebih baik, kami akan lakukannya?” katanya.
Jean yang tinggal di Subang Jaya menambah Najib perlu sedar masalah peningkatan kos sara hidup dan bagaimana ia memberi kesan kepada remaja melalui dasarnya sebelum mahu menasihati mereka.
“Sebagai contoh, kenaikan gaji minimum dan meningkatkan kuasa membeli; menyediakan subsidi untuk keperluan harian bagi membolehkan wang digunakan untuk perkara lain yang lebih baik,” katanya.
Rizal Rozhan, 25 dari Petaling Jaya berkata, Najib hanya “bercakap mengenai gaya hidupnya” apabila menasihatkan golongan muda berhubung perbelanjaan.
“Najib berasal daripada keluarga berada, anak kepada perdana menteri, menerima pendidikan berkualiti tinggi sejak dari usia muda.
“Bukan sahaja beliau tidak layak memberi nasihat berhubung isu ini, beliau tidak pernah berdepan dengan masalah ekonomi ketika remaja.
“Serius, hampir tidak pernah terdengar di kalangan belia ‘biasa’ Malaysia berbelanja RM1,000 seorang di sebuah restoran Jepun di sebuah hotel. Dia mungkin bercakap tentang gaya hidupnya,” kata Rizal.
Rizal, yang berasal dari Sabah dan kini bekerja di Petaling Jaya mengakui golongan muda kini memerlukan pendidikan kewangan lebh mendalam, kerajaan perlu akui fakta bahawa “golongan belia tiada pekerjaan, tidak menerima pendapatan sepatutnya, berdepan masalah peluang pekerjaan.
“Oleh itu, tanpa mengira kos hidup dan perbelanjaan gaya hidup mereka, celik kewangan tidak dapat menyelamatkan golongan belia kerana golongan belia sudahpun dibelenggu masalah lain,” katanya. – 22 Februari, 2018.
Komen