BERPULUH-PULUH orang diarah meninggalkan kediaman mereka selepas letusan gunung berapi di selatan Jepun pada Ahad ketika agensi cuaca negara itu mengeluarkan amaran peringkat tertinggi.
Rakaman televisyen menunjukkan batu merah panas dan kepulan gelap meletus dari gunung berapi Sakurajima di Kagoshima, yang meletus sejurus selepas jam 8 malam (1100 GMT).
Tiada laporan segera mengenai kerosakan, kata timbalan ketua setiausaha kabinet Yoshihiko Isozaki.
Perdana Menteri Fumio Kishida mengarahkan kerajaan “supaya bekerjasama rapat dengan majlis perbandaran tempatan untuk memastikan pencegahan kerosakan seperti melakukan pemindahan,” kata Isozaki kepada pemberita.
Gunung berapi itu kerap mengeluarkan asap dan abu dan menjadi tarikan utama pelancong.
Letupan pada Ahad menyebabkan asap besar kira-kira 2.5 kilometer dari kawah, kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA), manakala asap mencecah kira-kira 300 meter dan bergabung dengan awan.
Agensi itu meningkatkan amarannya terhadap Sakurajima ke tahap lima iaitu tahap tertinggi sekali gus memaksa pemindahan.
Sebelum ini, ia berada di tahap tiga, yang hanya melarang orang ramai masuk ke kawasan gunung.
Gunung berapi itu menyaksikan empat letusan awal antara Sabtu dan petang Ahad, dengan kepulan mencecah setinggi 1,200 meter.
“Kawasan kediaman pekan Arimura dan Furusato dalam jarak 3km dari kawah puncak… jadi Sakurajima harus berada dalam keadaan berjaga-jaga,” kata Tsuyoshi Nakatsuji dari bahagian pemerhatian gunung berapi JMA kepada pemberita.
Menurut majlis bandaraya Kagoshima, terdapat 77 penduduk di dua pekan itu.
Sakurajima dahulunya sebuah pulau, tetapi disebabkan letusan sebelumnya kini bersambung dengan semenanjung.
Jepun kali terakhir mengeluarkan amaran pemindahan tertinggi untuk gunung berapi apabila pulau Kuchinoerabu, juga di Kagoshima, meletus pada 2015. – AFP, 24 Julai 2022.
Komen