Ravichandran rakyat Malaysia pertama tawan Gunung K2


Ravichandran yang turut dikenali sebagai Ravi Everest berusia 57 tahun dan orang kurang upaya. – Gambar Facebook Ravichandran Everest, 24 Julai, 2022.

PENDAKI solo negara yang juga orang kurang upaya (OKU), T Ravichandran, 57, menjadi rakyat Malaysia pertama mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung K2, gunung kedua tertinggi di dunia yang terletak di Pakistan.

Beliau bersama lima lagi pendaki solo terhebat dunia dan diiringi lima sherpa, menawan puncak gunung setinggi 8,611 meter itu pada jam 10.50 pagi waktu tempatan, pada Jumaat lalu.

Bagi Ravichandran, cintanya kepada negara menjadi pembakar semangat sepanjang pendakian dan kejayaannya itu hadiah buat negara sempena sambutan Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos depan.

“Semangat cintakan negara, hidup dalam aman dan harmoni, itu kunci perpaduan yang patut disemai dalam jiwa yang mana ia menjadi kekuatan untuk saya harungi kesukaran sepanjang pendakian.

“Terima kasih kepada isteri saya tercinta, anda adalah kekuatan untuk saya berjaya. Tidak lupa kepada keluarga, rakan, penaja dan rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan saya sampai ke puncak,” katanya dalam kenyataan menerusi pesanan WhatsApp, hari ini.

Walaupun menghadapi kekurangan sebagai OKU, beliau berkata ia bukanlah penghalang kepadanya tetapi menjadi bukti OKU juga mampu membina kekuatan diri, setanding dengan mereka yang sempurna.

“Tiada yang mustahil untuk bangkit kembali jika kita terjatuh. Itu pengalaman pendakian yang saya tempuh dalam ekspedisi kali ini. Ini hadiah saya buat rakyat Malaysia. Merdeka!,” katanya. – Bernama, 24 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen