Penunggang motosikal kuasa tinggi guna lesen L terlalu lama, kata JPJ


Sebanyak 3,050 motosikal diperiksa dengan 822 daripadanya diambil tindakan dalam Op Lejang Fasa 1 di Plaza Tol Bentong, Pahang. – Gambar Facebook, 24 Julai, 2022.

SEGELINTIR penunggang motosikal berkuasa tinggi dikesan menggunakan lesen percubaan (Lesen L) untuk tempoh yang lama termasuk bagi tujuan berkonvoi.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata ketika diperiksa mereka didapati tidak pernah memperbaharui kepada lesen penuh (Kelas B).

“Terdapat juga mereka (penunggang motosikal berkuasa tinggi) ini yang tidak mempunyai kedua-dua lesen (Lesen L dan Kelas B) dan sepatutnya tidak boleh menunggang motosikal berkapasiti melebihi 250cc,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Op Lejang Fasa 1 di Plaza Tol Bentong, Pahang hari ini.

Katanya, mereka dinasihatkan supaya segera mendapatkan lesen Kelas B bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 3,050 motosikal diperiksa dengan 822 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu yang bermula jam 8 pagi.

“Kesalahan paling tinggi dilakukan tidak memiliki lesen memandu dan tidak ada cukai jalan sah,” katanya.

Sementara itu, menurutnya sejak 2018 hingga Jun 2022 sebanyak 3.7 juta motosikal diperiksa dan 1.3 juta motosikal diambil tindakan oleh JPJ.

“Antara kesalahan tertinggi direkodkan tiada lesen memandu iaitu sebanyak 471,665 kesalahan, lesen kenderaan motor (313,174) dan tiada perlindungan insurans (299,772),” katanya.

Aedy Fadly turut menegaskan tindakan termasuk penyitaan kenderaan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dikuatkuasakan ke atas mereka yang terbabit dalam kegiatan lumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya.

Katanya, JPJ juga akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di lebuh raya serta jalan Persekutuan dan negeri dari semasa ke semasa dalam usaha menangani kegiatan lumba haram serta menunggang secara berbahaya. – Bernama, 24 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen