Pesakit cacar monyet Thailand ditemui di Kemboja selepas larikan diri


Pertubuhan Kesihatan Sedunia semalam isytihar penularan cacar monyet sebagai darurat kesihatan global, iaitu amaran tahap tertinggi.– Gambar EPA, 24 Julai, 2022.

PESAKIT cacar monyet pertama Thailand yang melarikan diri pada Jumaat ditemui di Phnom Penh semalam, kata Kementerian Kesihatan Kemboja.

Lelaki Nigeria itu ditemui pada hari yang sama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) isytihar penularan cacar monyet sebagai darurat kesihatan global, iaitu amaran tahap tertinggi.

Menurut pegawai kesihatan Thailand pelancong berusia 27 tahun yang tinggal melebihi masa visanya di negara itu disahkan menghidap cacar monyet semasa berada di Phuket pada Isnin lalu.

Semasa berada di pulau peranginan itu lelaki tersebut mengunjungi dua pusat hiburan, kata pegawai kesihatan. Susulan itu 142 orang kini sedang disaring bagi mengesan jangkitan.

Pelancong dari Nigeria itu juga melakukan hubungan seks tanpa perlindungan dengan seorang wanita.

Dia melarikan diri selepas disahkan dijangkiti virus cacar monyet. Telefon bimbitnya juga dimatikan, menyebabkan pihak berkuasa gagal menghubunginya.

Isyarat telefon bimbitnya kemudian dikesan di wilayah timur laut bersempadan dengan Kemboja.

Dengan bantuan polis Kemboja, lelaki itu ditemui di sebuah rumah tamu di Phnom Penh dan dibawa ke Hospital Persahabatan Khmer-Soviet untuk dirawat.

Menurut WHO cacar monyet tidak menular seperti Covid-19. 

Bagaimanapun, jangkitan yang sebelum ini hanya menular di Afrika mula merebak dengan banyak kes dilaporkan di seluruh dunia sejak awal Mei.

Sehingga kini virus cacar monyet menjagngkiti 16,800 orang di 74 negara, menurut data yang dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

Menurut laporan yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine, jangkitan cacar monyet disebarkan 95% melalui aktiviti seksual. 

Kajian dijalankan ke atas 528 orang di 16 negara. – AFP, 24 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen