Bomba Sarawak latih penduduk rumah panjang tangani kebakaran 


Desmond Davidson

Rumah panjang Uma Sambop Orang Ulu yang terletak di pedalaman Belaga musnah dalam kebakaran. Jabatan bomba kini melatih penduduk memadam kebakaran untuk memudahkan mereka memberi bantuan awal.– Gambar The Malaysian Insight, 24 Julai, 2022.

SARAWAK menyaksikan penurunan dalam kes kebakaran rumah panjang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hasil program melatih penduduk sebagai anggota bomba sukarela, kata ketua bomba negeri Khirudin Drahman.

Menurut statistik bomba, terdapat 26 kebakaran rumah panjang pada 2017, dan 66 daripadanya telah musnah sepenuhnya. Kerugian harta benda dicatatkan hampir RM18 juta.

Pada 2018, jumlahnya menurun kepada 24 kebakaran, dan hanya 15 rumah panjang yang musnah sepenuhnya.

Angka itu jatuh lagi pada tahun-tahun berikutnya. Pada 2019, terdapat 21 kebakaran, yang mana 10 rumah panjang telah musnah sepenuhnya.

Pada tahun 2020, terdapat 16 kebakaran yang mana 7 rumah panjang tidak dapat diselamatkan.

Bagaimanapun, pada tahun pandemik 2021, angka itu meningkat sedikit, dengan 18 kebakaran rumah panjang yang mana 10 daripadanya musnah.

Sehingga 14 Julai tahun ini, 10 kejadian dilaporkan, separuh daripadanya musnah sepenuhnya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri telah melatih penduduk rumah panjang yang sihat tubuh badan untuk membentuk pasukan tindak balas kecemasan komuniti (CERT).

Rumah panjang, yang merupakan satu bentuk komuniti tradisional bagi sesetengah orang asli Sarawak, boleh menempatkan seluruh kampung dengan banyak keluarga yang kediamannya dibahagikan dalam struktur panjang, diperbuat daripada kayu dan terdedah kepada kebakaran.

Punca paling biasa kebakaran rumah panjang bermula di dapur - kebocoran gas dari dapur yang rosak. Beban elektrik dan litar pintas juga sering menjadi punca.

Khirudin berkata dalam mana-mana kebakaran, lima minit pertama adalah tempoh paling penting.

Kegagalan untuk menanganinya dalam tempoh itu boleh mengubah apa yang pada mulanya dianggap sebagai “api kecil” menjadi bencana, katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga berkata adalah agak mustahil untuk pihak bomba bertindak balas terhadap kebanyakan kebakaran rumah panjang dengan cepat kerana majoriti daripada 5,000 rumah panjang di negeri ini berada di kawasan luar bandar.

“Ia memerlukan jarak dan masa perjalanan untuk bertindak balas. Kami akui kami tidak dapat sampai ke kebanyakan rumah panjang yang berselerak di negeri ini tepat pada masanya untuk memadamkan kebakaran,” katanya sambil menambah anggota bomba biasanya ditempatkan di bandar.

Ia boleh mengambil masa setengah jam hingga setengah hari untuk sampai ke rumah panjang yang terbakar di pedalaman, lebih-lebih lagi jika kawasan itu tidak mempunyai akses jalan raya.

Khirudin berkata berikutan kelemahan inilah jabatan itu mencetuskan idea untuk melatih penduduk rumah panjang menjadi responden pertama.

Program melatih dan membentuk pasukan sukarelawan bomba memberi hasil katanya, walaupun mereka hanya menggunakan peralatan asas memadam kebakaran.– 24 Julai, 2022.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen