Kumpulan industri mengeluh proses mohon pekerja asing lambat


Khoo Gek San

Presiden Persekutuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia, Lim Ser Kwee berkata, hanya kira-kira 10% kebun sayur berjaya dalam permohonan untuk mendapatkan pekerja asing sejak Januari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2022.

PEKERJA asing kini boleh diambil dari 15 negara sumber untuk sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan, tetapi keperluan permohonan Putrajaya tidak akan melihat mereka datang ke sini untuk bekerja dalam masa terdekat, kata ketua industri.

Jumlah dokumen yang perlu dikemukakan dan pematuhan piawaian baharu untuk penginapan pekerja akan melambatkan proses pengambilan apabila banyak sektor bergelut dengan kekurangan tenaga kerja, kata mereka.

Presiden Persekutuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia, Lim Ser Kwee bagi sektor pengeluaran makanan, 80% pekebun sukar memenuhi piawaian penginapan baharu berikutan isu tanah.

“Kebun beroperasi di atas tanah yang dipajak daripada kerajaan tempatan dan digunakan untuk mengusahakan tanaman jangka pendek selama dua hingga tiga tahun atau berada di kawasan yang terlalu berbukit dan tidak memenuhi kriteria penginapan pekerja.

“Keperluan untuk asrama pekerja yang ditetapkan Kementerian Sumber Manusia adalah beban besar bagi pekebun,” kata Lim.

Beberapa kebun juga berada di kawasan terpencil dan beliau mempersoalkan seberapa cepat pihak berkuasa dapat memasang kabel elektrik dan paip air bagi membolehkan kuarters kakitangan dibina.

“Jadi kebun mungkin mendapat kelulusan daripada kerajaan tempatan untuk beroperasi, tetapi masih tidak boleh diteruskan kerana ia ditolak pihak sumber manusia kerana tidak memenuhi piawaian asrama.”

Setakat ini, Lim berkata hanya kira-kira 10% kebun sayur berjaya dalam permohonan untuk mendapatkan pekerja asing, sejak Januari lalu dan masih ramai lagi dalam proses rayuan.

Lim berkata beberapa ladang mengemukakan permohonan 20 pekerja asing tetapi bilangan itu dikurangkan separuh, sekali gus tidak mencukupi untuk sebuah ladang beroperasi dengan cekap. Jumlah itu dikurangkan Kementerian Dalam Negeri, katanya.

“Saya bimbang jika keadaan tidak ditambah baik, negara akan berdepan dengan masalah bilangan pekebun dan pengguna terpaksa bergantung kepada sayur-sayuran import,” katanya sambil menambah dalam tempoh tiga tahun lalu, ladang sayur menyaksikan pengeluaran lebih rendah sebanyak 20% kepada 30% berikutan kekurangan tenaga buruh.

“Kerajaan hanya mengejar pekerja asing tanpa izin, tetapi tidak mengisi kekosongan atau keperluan pekerja di ladang.

Lim berkata pekebun sayur memilih pekerja dari Nepal dan Bangladesh.

Langkah kerajaan membenarkan pengambilan pekerja asing dari 15 negara, bagaimanapun, bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan majikan kepada negara sumber yang biasa diutamakan selain Nepal dan Bangladesh, termasuk Filipina serta Indonesia.

Selain empat sumber itu, 15 negara lain ialah India, Thailand, Kemboja, Myanmar, Laos, Vietnam, Pakistan, Sri Lanka, Turkmenistan, Uzbekistan dan Kazakhstan.

15 negara tersebut diumumkan pada 18 Julai ketika sidang media bersama Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, susulan mesyuarat antara kementerian untuk membincangkan masalah buruh semasa.

Kekurangan pekerja berterusan sejak Putrajaya membekukan pengambilan semasa pandemik Covid-19. Setakat ini, kerajaan hanya membenarkan dalam kelompok pekerja untuk sektor terhad, seperti perladangan.

Masalah baharu timbul apabila Indonesia baru-baru ini memutuskan untuk membekukan sementara penghantaran warganya bekerja di sini atas pertikaian dalam perjanjian pembekalan buruh asing dan pengambilan pekerja dengan Malaysia.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Ding Hong Sing berkata sementara kerajaan cuba menyediakan lebih banyak buruh asing kepada majikan Malaysia, ia juga perlu memudahkan proses permohonan.

Proses itu juga harus dilakukan sepenuhnya dalam talian, tanpa memerlukan perantara atau pihak ketiga, tambahnya.

Terdapat sekurang-kurangnya 30 jenis dokumen yang perlu dikemukakan oleh majikan semasa memohon pekerja asing, dakwa Ding.

“Ia terlalu rumit. Kerajaan harus memudahkan proses permohonan supaya PKS dapat mengambil pekerja asing dengan cepat.

“Berapa lama masa yang diambil untuk pekerja asing masuk? Kami menghargai usaha kerajaan, tetapi pekerja diperlukan segera.

“Kita mesti mengambil berat tentang kesukaran yang dihadapi PKS. Pengilang juga mahu menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara,” kata Ding sambil menambah kebanyakan PKS mengambil pekerja dari Indonesia, Myanmar, Pakistan, Nepal dan Bangladesh. – 24 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen