WHO dijangka klasifikasi cacar monyet kecemasan kesihatan global hari ini


Ketua pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tedros Adhanom Ghebreyesus dijadualkan berucap pada sidang media maya pada 9.30 malam (waktu Malaysia) ini. – Gambar EPA, 23 Julai, 2022.

BERDEPAN dengan lonjakan kes cacar monyet, ketua pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia dijangka mengisytiharkan sama ada agensi itu perlu mengklasifikasikan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan global dengan amaran tertinggi boleh dikeluarkan.

WHO dalam satu kenyataan lewat semalam, berkata Tedros Adhanom Ghebreyesus dijadualkan berucap pada sidang media maya pada 9.30 malam (waktu Malaysia) ini.

Kenyataan itu tidak mendedahkan apa yang akan diumumkan.

Cacar monyet menjejaskan lebih 15,800 orang di 72 negara, menurut pengiraan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan pada 20 Julai.

Lonjakan jangkitan wabak itu dilaporkan sejak awal Mei di luar negara Afrika Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit itu sudah lama menjadi endemik.

Pada 23 Jun, WHO mewujudkan jawatankuasa pakar kecemasan (EC) untuk memutuskan sama ada cacar monyet boleh diklasifikasikan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) – tahap amaran tertinggi agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun majoriti menasihatkan Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada ketika itu keadaan belum mencapai ambang.

Mesyuarat kedua dipanggil ketika bilangan kes semakin meningkat.

“Saya memerlukan nasihat anda dalam menilai implikasi kesihatan awam jangka masa serta-merta,” kata Tedros pada mesyuarat yang berlangsung lebih enam jam itu.

Seorang pakar kesihatan AS memberi amaran keras lewat Jumaat.

“Sejak mesyuarat terakhir EC berkaitan #monkeypox hanya beberapa minggu lalu, kami melihat peningkatan eksponen dalam kes. Tidak dapat dielakkan kes akan meningkat secara mendadak dalam minggu dan bulan akan datang. Itulah sebabnya @DrTedros mesti memberi amaran global,” tulis Pengarah Pusat Kerjasama WHO mengenai Undang-undang Kesihatan Kebangsaan dan Global, Lawrence Gostin di Twitter.

“Kegagalan untuk bertindak akan membawa kesan buruk kepada kesihatan global.” – AFP, 23 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen