BANJIR di selatan Iran mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang dan mengakibatkan enam lagi hilang berikutan hujan lebat di negara itu yang sebahagian besarnya gersang, lapor media kerajaan hari ini.
“Sekitar jam 5.00 petang semalam (waktu tempatan), hujan lebat di bandar Ij dan Roodbal di bahagian tengah Estehban menyebabkan banjir,” kata Gabenor Wilayah Fars, Yousef Kargar dipetik sebagai berkata agensi berita IRNA.
“Akibat banjir, 17 mayat ditemui di sekitar Estehban, 13 daripadanya dikenal pasti,” katanya sambil menambah enam orang masih hilang.
“Sebahagian penduduk tempatan dan pelancong asing (dari kawasan lain) yang pergi ke tepi sungai dan berada di dasar sungai, terperangkap dalam banjir akibat kenaikan paras air,” katanya.
Video yang disiarkan di media tempatan dan media sosial menunjukkan kereta terperangkap di dalam sungai Roodball. Paras air di sungai tersebut dilaporkan semakin meningkat.
Iran mengalami kemarau berulang sepanjang dekad yang lalu, tetapi juga diikuti dengan banjir biasa.
Pada 2019, banjir besar di selatan negara itu menyebabkan sekurang-kurangnya 76 orang terkorban dan mengakibatkan kerosakan dianggarkan lebih AS$2 bilion.
Pada Januari sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dalam banjir kilat di Fars apabila hujan lebat melanda kawasan itu, kata seorang pegawai tempatan pada masa itu.
Saintis berpendapat perubahan iklim menguatkan cuaca yang melampau, termasuk kemarau serta potensi peningkatan intensiti hujan lebat.
Seperti negara lain yang berdekatan, Iran mengalami musim kering yang kronik dan gelombang panas selama bertahun-tahun, dan ini dijangka bertambah buruk.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa demonstrasi berlaku bagi menentang kekeringan sungai, terutamanya di tengah dan barat daya Iran. – AFP, 23 Julai, 2022.
Komen