Mahkamah Belgium sekat sebarang cubaan bebaskan diplomat Iran


Belgium menandatangani perjanjian tukar tahanan dengan Iran, mencetuskan kebimbangan ia memberi kekebalan kepada ejen Iran yang melakukan jenayah keganasan di peringkat global. – Gambar AFP, 23 Julai, 2022.

HAKIM Belgium pada Jumaat membenarkan permohonan daripada pembantah perjanjian tukar tahanan terbaru dengan Tehran bagi menghalang sebarang cubaan menghantar pulang seorang diplomat Iran yang disabit bersalah atas tuduhan keganasan sehingga semua keputusan boleh dicabar di mahkamah.

Peguam pihak rakyat Iran yang hidup dalam buangan memberitahu AFP yang mahkamah rayuan Brussel mengarahkan kerajaan Belgium untuk tidak menyerahkan Assadollah Assadi kepada Iran tanpa keputusan itu dicabar dan disahkan hakim.

Georges-Henri Beauthier, peguam kepada Majlis Nasional Penentangan Iran (NCRI) berkata mahkamah mengeluarkan arahan supaya sebarang cadangan pembebasan Assadi tertakluk kepada “soal balas di hadapan hakim” kepada kerajaan.

“Sebelum pendengaran ini, kerajaan Belgium tidak boleh meneruskan pemindahan tahanan,” katanya.

Arahan mahkamah itu menurut agensi berita Belga, menetapkan yang “adalah menjadi kesalahan untuk kerajaan negara Belgium, di bawah penalty 500,000 euro untuk cuba dalam sebarang cara bagi memindahkan Assadollah”.

Pada Rabu, selepas dua hari perdebatan hangat, Parlimen Belgium meratifikasi perjanjian dengan Iran membolehkan penukaran tahanan, mencetuskan andaian yang Assadi yang dijatuhi hukuman penjara 20 tahun akan dihantar balik ke Tehran.

Kerajaan Perdana Menteri Alexander De Croo mahukan perjanjian itu bagi membebaskan pekerja bantuan kebajikan Olivier Vandecasteele dan berkata mereka bimbangkan keselamatan sekitar 200 warga Belgium yang bekerja dan tinggal di Iran.

Tetapi pembangkang dan NCRI yang mengadakan protes jalanan membantah perjanjian itu berkata ia akan memberi kekebalan kepada ejen Iran seperti Assadi yang disabit bersalah kerana peranannya dalam letupan bom di perhimpunan politik di Paris tahun lepas. – AFP, 23 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen