Presiden Volodymyr Zelensky semalam berkata Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertanggungjawab memastikan pelaksanaan perjanjian ulung antara Ukraine dan Rusia bertujuan membukan semula laluan eksport Laut Hitam dan mengatasi krisis makanan global.
“Rusia boleh melakukan provokasi dan mencemarkan nama baik Ukraine dan usaha antarabangsa. Tetapi kami percayakan PBB. Sekarang tanggungjawab mereka untuk menjamin (pelaksanaan) perjanjian itu,” katanya dalam ucapan video harian yang dikeluarkan.
Rusia dan Ukraine menandatangani perjanjian eksport bijiran Laut Hitam di Istanbul semalam, dengan Turki dan PBB sebagai penjamin bersama.
Kedua-dua negara adalah pengeksport utama produk pertanian tetapi perang telah menyekat eksport tepung dari Ukraine kerana pertempuran yang merosakkan hasil tanaman dan pelabuhan disekat.
Kedua-dua negara menandatangani dua teks yang serupa, kerana Ukraine enggan menandatangani dokumen sama dengan Rusia.
Zelensky berkata perjanjian itu “sepenuhnya” demi kepentingan Ukraine dan tentera Ukraine akan mendapat akses penuh kepada pelabuhan.
Tambahnya sekitar 20 juta tan hasil tuaian tahun lepas dan tuaian tahun ini akan dieksport disebabkan perjanjian itu, menganggarkan nilainya sekitar AS$10 bilion.
“Ada peluang untuk mengurangkan keseriusan krisis makanan disebabkan Rusia dan menghalang bencana global- kebuluran yang boleh mencetuskan kekecohan politik di banyak negara, terutamanya yang membantu kami,” katanya.
“Ia adalah satu lagi bukti yang Ukraine berkemampuan bertahan dalam perang ini.”
Menteri Infrastruktur Ukraine Oleksandr Kubrakov berkata eksport dari pelabuhan Laut Hitam boleh dilakukan semula dalam tempoh beberapa hari lagi.
“Perjanjian itu ditandatangani di bawah syarat kami. Setakat ini masih tiada pelanggaran,” katanya. – AFP, 23 Julai, 2022.
Komen