AS serah bantuan ketenteraan AS$270 juta kepada Ukraine


AS menyerahkan bantuan ketenteraan terbaru bernilai AS$270 juta kepada Ukraine termasuk pelbagai sistem roket dan kenderaan perisai. – Gambar AFP, 23 Julai, 2022.

AMERIKA Syarikat semalam memuktamadkan bantuan ketenteraan berjumlah AS$270 juta kepada Ukraine termasuk empat sistem pelancaran tepat roket Himars.

Rusia telah “melancarkan serangan maut di seluruh negara, menyerang kompleks beli belah, bangunan apartmen, membunuh warga Ukraine tidak bersalah,” kata jurucakap White House John Kirby kepada wartawan.

“Bagi berdepan kekejaman ini, presiden jelas menyatakan yang kita akan terus menyokong kerajaan Ukraine dan rakyatnya selagi mana ia diperlukan,” katanya.

Bantuan terbaru itu akan meliputi 20 Sistem Pensenjataan Roket Bermobiliti Tinggi M142 (Himars) yang akan dihantar ke Ukraine.

Kyiv menyifatkan Himars yang berkemampuan melancarkan serangan tepat dalam jarak 80 kilometer sebagai alat strategik melawan Rusia.

Pentagon yang memberikan butiran lanjut pakej bantuan itu berkata Ukraine akan menerima sehingga 580 Phoenix Ghost – dron kecil dan berkeupayaan tinggi yang boleh diletupkan di sasarannya.

Bantuan terbaru itu juga meliputi 36,000 senjata dan empat Kenderaan Pusat Operasi yang boleh digunakan dalam pertempuran.

Lebih setengah bantuan datangnya daripada pakej AS$40 bilion untuk Ukraine yang diluluskan Kongres pada Mei.

Menteri Pertahanan Ukraine Oleksiy Reznikov awal minggu ini dilaporkan berharap yang AS akan memberikan sebanyak 100 unit Himars yang boleh melawan pergerakan pencerobohan Rusia.

Seorang pegawai kanan pertahanan AS yang bercakap dengan wartawan atas dasar kerahsiaan menafikan laporan yang Rusia berjaya memusnahkan empat unit Himars.

Sebaliknya pegawai itu berkata Rusia nampaknya beradaptasi dengan realiti perang menggunakan Himars, termasuk meningkatkan penggunaan taktik penyembunyian.

Menurutnya lagi Himars kini menjadi “alat paling ditakuti di Ukraine” untuk Rusia.

Presiden AS Joe Biden bagaimanapun menolak penghantaran roket jarak jauh, bimbang yang Ukraine akan menggunakannya untuk menyerang wilayah Rusia yang boleh mengheret AS secara langsung ke kancah perang itu. – AFP, 23 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen