Cuba adakan referendum perkahwinan sama jenis pada September


Perundangan keluarga terbaru itu meliputi antaranya perkahwinan sama jenis dan ibu bapa tumpang akan ditentukan penerimaannya oleh rakyat Cuba pada 25 September ini. – Gambar AFP, 23 Julai, 2022.

CUBA akan mengadakan referendum pada 25 September sama ada akan menggunapakai undang-undang keluarga diperbaharui, yang meliputi perundangan pertama kali perkahwinan sama jenis dan ibu bapa tumpang, umum Parlimen negara itu semalam.

“Keputusan akhir akan diletakkan di tangan rakyat,” tetapi “kami percaya sudah tiba masanya majoriti rakyat Cuba untuk menyokong revolusi kod perundangan yang inklusif dan demokratik,” kata setiausaha Dewan Nasional.

Undang-undang keluarga baharu itu akan menggantikan perundangan yang berkuat kuasa selama 47 tahun.

Aktivis LGBTQ cuba memasukkan perkahwinan sama jenis ke dalam Perlembagaan Cuba apabila ia disemak pada 2019, tetapi mengalah selepas bantahan keras kumpulan gereja dan konservatif.

Jika referendum itu diluluskan, Cuba akan menyertai tujuh lagi negara Amerika Latin yang membenarkan perkahwinan sama jenis: Argentina, Brazil, Colombia, Ecuador, Uruguay dan terbaru Chile.

Ibu kota persekutuan Mexico membenarkan perkahwinan sama jenis pada 2009, dengan majoriti daripada 32 negeri mengikutnya. – AFP, 23 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen