POLIS Kanada semalam berkata mereka membuka semula siasatan jenayah terhadap dakwaan rogol berkumpulan pada 2018 melibatkan lapan pemain hoki, ada antaranya bermain di NHL.
Ketua Polis London Ontario Steve Williams berkata semakan itu dibuat ke atas siasatan lepas selama lapan bulan yang tamat pada Februari 2019 tanpada pendakwaan menemui “peluang siasatan lanjut”.
“Siasatan jenayah dibuka semula untuk membolehkan peluang ini diteroka,” kata Williams tanpa memberikan butiran lanjut.
Dakwaan rogol berkumpulan itu didedahkan bulan lepas selepas timbul persoalan tentang penyelesaian saman dibuat Hoki Kanda dengan suspek mangsa pada April.
Saman itu difailkan terhadap Hoki Kanada, Liga Hoki Kanada dan pemain tersebut, ada antara mereka mewakili Kanada pada Kejohanan Dunia Muda Hoki pada 2018.
Wanita tersebut dikenali sebagai “E.M” dalam dokumen mahkamah mendakwa diserang secara seksual di sebuah hotel di London, Ontario selepas makan malam gala Hoki Kanada pada 2018.
Peguam mewakili beberapa pemain hoki yang dituduh yang tidak dinamakan dalam saman itu dilaporkan berulang kali menafikan salah laku jenayah, berkata hubungan seks dilakukan dengan persetujuan bersama.
Kes itu menyebabkan penggantungan pembiayaan persekutuan untuk Hoki Kanada berserta amaran keras Perdana Menteri Justin Trudeau kerana salah urus dakwaan dan “membutakan mata” terhadap salah laku jenayah seksual itu.
Badan pengurusan hoki kebangsaan sudah meminta maaf kerana “tidak bertindak secukupnya” untuk menangani isu tindakan beberapa ahli pasukan muda kebangsaan 2018 atau menamatkan budaya toksik dalam permainan itu.
Ia juga melancarkan semula siasatan dalam terhadap tuduhan itu dan mewajibkan semua jurulatih dan pemain menghadiri latihan keganasan dan persetujuan seksual.
Semalam juga, Hoki Kanada melancarkan siasatan jenayah berasingan terhadap “tuduhan serangan seksual berkumpulan” yang dipercayai melibatkan beberapa ahli pasukan muda ketika Kejohanan Hoki Muda Dunia 2003.
Tiada nama dikaitkan dengan kes itu, tetapi pasukan Kanada 2002-03 mempunyai beberapa pemain yang kemudiannya mempunyai kerjaya di Liga Hoki Kebangsaan. – AFP, 23 Julai, 2022.
Komen