Sektor kelapa sawit terus rugi jika isu kurang buruh tidak selesai


Mohd Farhan Darwis

Sektor kelapa sawit akan terus rugi jika isu kurang pekerja tidak dapat diselesaikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2022.

MALAYSIA masih memerlukan tenaga buruh asing di ladang kelapa sawit kerana belum ada peralatan sesuai untuk menuai buah segar, kata pemain industri.

Mereka juga berkata sudah sampai masanya Malaysia melatih buruh tempatan untuk bekerja di ladang kelapa sawit bagi mengelak masalah kekurangan tenaga buruh asing yang kini terus menjejaskan hasil ekonomi negara.

Presiden Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) Jeffery Ong berkata, sektor perladangan kelapa sawit kini berhadapan kekurangan kira-kira 120,000 pekerja bagi membolehkan kutipan hasil yang lebih optimum.

“Walaupun operasi ladang boleh menggunakan perkhidmatan mesin, industri ini masih belum mampu mencipta alatan penuaian yang kos efektif terutamanya melibatkan pokok kelapa sawit yang tinggi.

“Kami masih lagi bergantung dengan khidmat penuai manusia sedangkan rakyat tempatan enggan bekerja di sektor perladangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, jika isu kekurangan buruh tidak diatasi segera, industri kelapa sawit Malaysia dikhuatiri kehilangan kira-kira RM28 bilion potensi hasil pada tahun ini sahaja.

Jeffrey menjelaskan kekurangan buruh bermakna ladang akan mengalami kekurangan penuai yang menyebabkan kitaran tuaian jadi lebih panjang.

Tandan kelapa sawit segar sepatutnya dituai antara dua hingga tiga kali dalam sebulan, dan dilakukan secara manual.

Keadaan itu kata Jeffrey mengakibatkan banyak buah tandan segar tidak dipetik pada waktunya dan mengurangkan hasil tuaian.

“Semakin kurang jumlah tenaga buruh, mengakibatkan penurunan hasil tuaian, bilangan tandan kelapa sawit segar yang tidak dapat dikutip semakin tinggi tahun demi tahun,” katanya.

Kitaran penuaian akan jadi lebih panjang disebabkan tiada pekerja yang menjejaskan kualiti minyak sawit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2022.

Data MEOA menunjukkan hasil tuaian kelapa sawit segar menurun dengan ketara pada tahun lalu iaitu pada kadar 15.47 tan metrik bagi setiap hektar, berbanding pada 2017 yang menunjukkan 17.89 tan metrik setiap hektar, katanya.

Ia berikutan kekurangan bekalan buruh untuk diisi di sektor perladangan kelapa sawit.

Katanya, kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan pada 2021, iaitu ketika peringkat awal penularan wabak Covid-19, hanya sekitar 30,000 hingga 40,000 orang.

Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jumlahnya semakin meningkat sehingga negara kini memerlukan antara 100,000 hingga 120,000 bagi seluruh negara.

“Jumlah pekerja asing itu diperlukan pada masa kini untuk mengisi kekosongan jawatan dalam industri minyak kelapa sawit bagi membolehkan sektor ini bergerak di tahap yang lebih produktif. 

“Perlu kami tegaskan, semakin lama semakin ramai pekerja yang akan pulang ke negara sumber dan jika mereka tidak diganti, bilangan kekurangan tenaga pekerja sekarang akan meningkat,” kata Jeffrey.

MEOA katanya mencadangkan kementerian sumber manusia menyegerakan proses pengambilan pekerja asing.

Pihaknya turut mengharapkan kerajaan memudahkan proses pengambilan pekerja melalui Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

“Bagi jangka panjang, perlu diwujudkan pasukan khas merangkumi wakil daripada pelbagai sektor industri termasuk pakar sumber manusia untuk menilai proses pengambilan pekerja di dalam FWCMS dan menambah baik dari masa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 65,000 pekebun kecil di seluruh negara juga terkesan dengan kekurangan buruh asing.

Timbalan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Adzmi Hassan berkata kebanyakan pekebun kecil sudah berusia dan menggaji pekerja warga asing untuk menguruskan ladang mereka.

Katanya, kekurangan buruh asing di ladang turut menjejaskan pendapatan pekebun kecil sepertinya yang sebahagian besarnya menggunakan khidmat mereka untuk proses penuaian kelapa sawit.

Pekebun kecil katanya menggunakan khidmat penuaian yang ditawarkan peniaga pusat pengumpulan kelapa sawit yang turut menggunakan khidmat buruh warga asing.

“Proses automasi tak praktikal untuk pekebun kecil memandangkan kosnya tinggi. Pekebun kecil ni ladang kecil-kecilan,” katanya.

Data MEOA menunjukkan hasil tuaian kelapa sawit segar menurun dengan ketara pada tahun lalu iaitu pada kadar 15.47 tan metrik bagi setiap hektar, berbanding pada 2017 yang menunjukkan 17.89 tan metrik setiap hektar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2022.

Peningkatan harga kelapa sawit yang mendadak sehingga RM1,300 bagi setiap tan metrik baru-baru ini juga katanya turut menjejaskan pekebun kecil kerana kos pengurusan ladang turut meningkat mendadak sehingga 40%, katanya.

Memburukkan keadaan, kekurangan buruh itu juga katanya mengakibatkan harga upah tuaian meningkatkan disebabkan permintaan tinggi bagi mendapatkan perkhidmatan buruh.

“Kosnya meningkat, RM60 hingga RM70 malah ada yang sehingga RM80 setan (upah tuai), ada juga pemetik buah tak ikut tan tapi ikut tandan, dulu satu tandan RM1.20 sekarang mereka minta setandan hingga ada yang sampai RM5.

“Waktu harga kelapa sawit mahal pekebun kecil mampu bayar, sekarang harga jatuh, kos dah meningkat bila dah naik harga dia tak turun dah.

“Pusingan penuaian sepatutnya 15 hari, naik ke 20 hari hingga sebulan lebih, kelapa sawit kalau tak dituai tiada hasil, kalau dituai lambat buah jatuh lerai nilainya dah lain,” katanya.

Harga tandan kelapa sawit segar kini mula menurun sehingga kadar RM700 hingga RM850 bagi setiap tan metrik.

Beliau sehubungan itu mengharapkan pihak berwajib dalam segera menyelesaikan itu kekurangan tenaga buruh di samping panduan kos upah perkhidmatan buruh.

“Kami ada panduan harga kelapa sawit tapi harga pengurusan itu tidak ada…kos penuaian perlu ada kawalan,” katanya lagi.

PKPKM juga katanya mencadangkan supaya kerajaan mula memikirkan kaedah sesuai untuk melatih buruh dari kalangan rakyat tempatan.

Ini kerana isu kekurangan buruh asing di sektor perladangan kelapa sawit dijangka akan terus berlarutan sekaligus penyelesaian jangka panjang diperlukan bagi mengelakkan kerugian berterusan ditanggung pemain industri itu.

“Isu buruh asing ini akan berpanjangan kita tak boleh harapkan buruh asing semata-mata kita kena latih buruh tempatan,” kata Adzmi.

PKPKM mencadangkan kerajaan menubuhkan badan berkaitan pertanian dan melatih graduan yang belum mendapat peluang pekerjaan menyertai sektor pertanian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2022.

PKPKM mencadangkan kerajaan menubuhkan badan berkaitan pertanian dan melatih graduan yang belum mendapat peluang pekerjaan menyertai sektor pertanian.

Kaedah itu katanya membolehkan pasaran buruh dikuasai pekerja tempatan selain membolehkan graduan berkenaan membayar hutang pinjaman pendidikan mereka.

“Kita ada PTPTN, budak-budak keluar habis belajar tiada kerja, nak bayar hutang pun susah, saya cadangkan ditubuhkan perbadanan pertanian negara dan mereka boleh sewa dan usahakan tanah, dan nanti daripada pendapatan mereka guna untuk bayar hutang,” katanya.

Selain itu, tambahnya, perbadanan pertanian itu boleh memberikan pinjaman modal kepada graduan dan kerajaan boleh menyediakan pasaran untuk mereka memasarkan produk yang dihasilkan.

“Letaklah bawah koperasi misanya, perbadanan siapkan tanah dan pasaran. Kalau buat ladang kelapa sawit pastikan mereka mampu bayar hutang pendidikan. 

“Macam itu kita boleh didik graduan masuk bidang pertanian, hutang pun mereka boleh bayar,” kata Adzmi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin baru-baru ini berkata Malaysia kerugian sehingga RM10 bilion antara Januari dan Mei tahun ini apabila lebih 1.5 juta tan buah sawit tidak dapat dikutip sebulan kerana kekurangan pekerja.

Sektor perladangan kelapa sawit di negara ini sebahagian besarnya masih bergantung kepada tenaga buruh yang 75% daripadanya terdiri daripada pekerja warga asing. – 23 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen