JUNTA tentera Myanmar membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan membakar ratusan rumah semasa serbuan ke atas sebuah kampung ketika pertempuran berkecamuk di kawasan panas penentangan terhadap rampasan kuasa, kata penduduk tempatan dan laporan media.
Wilayah Barat Laut Sagaing menyaksikan pertempuran sengit dan tindak balas berdarah sejak rampasan kuasa tahun lalu, dengan tentera junta bergelut untuk menumpaskan tentangan oleh “Pasukan Pertahanan Rakyat” (PDF) tempatan.
Pada 18 Julai, tentera diturunkan berhampiran perkampungan Kyi Su oleh dua helikopter, seorang penduduk tempatan memberitahu AFP, dan kira-kira 100 orang yang tidak melarikan diri telah ditawan oleh tentera.
“Lelaki warga emas itu dibebaskan pada hari berikutnya manakala kira-kira 10 orang yang lebih muda ditahan di sana,” kata mereka, yang enggan identiti dikenali.
Penduduk kampung menemui mayat ketika mereka kembali pada 20 Julai selepas tentera pergi, kata seorang penduduk.
“Saya pergi mencari haiwan ternakan saya di dalam hutan tetapi saya menemui sembilan mayat manusia terbakar dalam keadaan tangan terikat,” katanya.
Seorang lagi warga tempatan, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata 10 mayat telah ditemui dan sembilan daripadanya telah dikenal pasti oleh ahli keluarga.
Mereka juga berkata mayat berkenaan ditemui dengan tangan terikat.
Sekurang-kurangnya 30 orang penduduk dari kampung itu hilang, tambah mereka.
Kira-kira 400 rumah di kawasan penduduk Islam di kampung itu telah dibakar dan sebuah masjid telah musnah sebahagiannya akibat kebakaran, kata seorang penduduk Islam yang melarikan diri sebelum tentera tiba dan rumahnya antara yang turut dibakar.
“Kami terselamat, tetapi kami kehilangan tempat tinggal. Apabila hujan kami terpaksa berdepan nyamuk dan pepijat,” katanya yang turut tidak mahu namanya disiarkan.
Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 20 mayat hangus ditemui dalam keadaan tangan terikat dan ratusan rumah telah dibakar di Kyi Su.
AFP tidak dapat mengesahkan laporan dari wilayah terpencil, yang mana akses internet kerap disekat oleh pihak berkuasa junta. – AFP, 22 Julai, 2022.
Komen