PROJEK pertama penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) Thailand yang dikendalikan syarikat gergasi minyak dan gas, PTT Exploration & Production Public Company Limited (PTTEP) dijangka mula beroperasi menjelang 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTEP, Montri Rawanchaikul berkata PTTEP telah melancarkan kajian kebolehlaksanaan projek pertama CCS Thailand di medan gas luar pesisir Arthit di Teluk Thailand pada 2021.
Projek itu adalah satu daripada usaha Thailand untuk mencapai neutral karbon pada 2050 dan menyokong ke arah mencapai sifar bersih pelepasan gas rumah hijau (GHG) pada 2065.
Beliau berkata projek itu sedang dalam proses kajian awal kejuruteraan dan reka bentuk.
“Ia akan mengambil masa beberapa tahun sebelum kami boleh memulakan projek itu. Operasi CCS dijangka dapat dimulakan pada 2027,” katanya kepada Bernama.
Projek CCS bertujuan membendung pelepasan karbon dioksida (CO2) dengan lebih berkesan. Ia melibatkan proses penangkapan serta penyimpanan CO2 yang dimampatkan, diangkut dari pelantar dan menyuntiknya ke dalam takungan simpanan khas. – Bernama, 22 Julai, 2022.
Komen