Polis cari pekerja ubah suai rumah Zalina Azman


Kalidevi Mogan Kumarappa

Bekas pembaca berita Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas dipercayai masih berada dalam negara. – Gambar Facebook, 22 Julai, 2022.

POLIS Shah Alam sedang mengesan pekerja pengubahsuaian rumah yang pernah melakukan kerja baik pulih di rumah bekas pembaca berita Zalina Shaharah Azman, Seksyen 3, Shah Alam yang dilapor hilang sejak November 2021.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata keterangan pekerja pengubahsuaian rumah itu boleh membantu siasatan kehilangan Zalina.

“Kita masih menjalankan siasatan bagi mengesan pekerja-pekerja yang terlibat dalam pengubahsuaian itu yang mungkin boleh membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media.

Sebelum ini, seorang pemilik pusat tahfiz, Mohammad Bokhari Sharif, 76, yang mengoperasikan tahfiz bersebelahan rumah Zalina mendakwa terdapat kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan di rumah tersebut pada tahun 2019.

Bagaimanapun, kerja-kerja tersebut terbengkalai beberapa bulan sebelum Zalina hilang.

Dalam perkembangan sama, Iqbal memaklumkan pihaknya telah merakam keterangan enam ahli keluarga bagi membantu siasatan.

“Enam ahli keluarga telah direkodkan keterangan selepas laporan polis dibuat (pada 29 November tahun lalu),” katanya. 

Pada Isnin, IPD Shah Alam mengeluarkan hebahan mengenai kehilangan Zalina, lapan bulan selepas pertama kali menerima laporan mengenai orang hilang. Ia hanya dikeluarkan awal minggu selepas pihak polis bertukar maklumat dengan beberapa agensi lain.

Zalina dilapor hilang oleh anaknya yang mendakwa gagal menghubungi ibunya sejak 24 November tahun lalu. – 22 Julai, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen