Tunai janji naikkan gaji penjawat awam, gesa Cuepacs


Diyana Ibrahim

Presiden Cuepacs Adnan Mat turut menggesa kerajaan memperkenalkan sistem saraan baharu kepada penjawat awam sebagai usaha mengatasi kos sara hidup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2022.

KERAJAAN mesti menunaikan janji menaikkan gaji tahunan kepada penjawat awam yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum ke-14, kata Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presidennya Adnan Mat berkata Cuepacs melihat itu merupakan janji kerajaan, dan bukan parti politik, yang perlu ditunaikan.

“Bagi kami apa yang diumumkan kerajaan pada 4 April 2018 di mana kami akan menerima kenaikan gaji pada Julai 2018 perlu ditunaikan oleh kerajaan.

“Ini kerana bagi kami ia adalah sebuah pengumuman kerajaan dan bukannya parti politik.

“Jadi, apabila kerajaan sudah mengumumkan adalah tidak adil kerajaan tidak melaksanakan,” katanya pada sidang media selepas program Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Terengganu, di Kuala Nerus hari ini.

Kenaikan gaji tahunan kepada 1.6 juta penjawat awam diumumkan oleh perdana menteri ketika itu Najib Razak pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (Mappa XVI) di Putrajaya.

Barisan Nasional (BN) yang diketuai Najib bagaimanapun kalah PRU14, sementara Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan tidak merasakan ia terikat dengan janji itu.

Menurut Adnan, penjawat awam hanya menerima kenaikan gaji tahunan pada 2012, 2013 dan terakhir pada 2016.

Tuntutan munasabah

Pada masa sama beliau juga mempertahankan tuntutan Cuepacs menaikkan gaji tahunan dan RM1,800 gaji minimum adalah munasabah

Beliau berkata kerajaan sebenarnya mampu untuk melaksanakan permintaan Cuepacs.

Tambahnya lagi penjawat awam ketika ini semakin terbeban dengan kenaikan kos sara hidup dan gaji pula semakin mengecil.

“Dua kenaikan gaji kepada penjawat awam ini kerana kenaikan harga barang. Melalui kajian dibuat Cuepacs sendiri perbelanjaan penjawat awam meningkat sebanyak RM148.

“Jadi dengan kenaikan perbelanjaan itu baru setara dengan kenaikan gaji tahunan, ia bukan satu kenaikan gaji mewah dan ia hanya sedikit keselesaan dengan kenaikan harga barang ada pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata selain itu Cuepacs menuntut kerajaan memperkenalkan sistem saraan baharu kepada penjawat awam sebagai usaha mengatasi kos sara hidup.

Antara lain, Adnan berkata Cuepacs juga menuntut kerajaan melonggarkan arahan kerajaan untuk membekukan pengisian jawatan sebagai langkah penjimatan.

Beliau berkata keputusan kerajaan itu akan memberi kesan kepada perkhidmatan penjawat awam yang terpaksa bekerja dalam tekanan akibat beban kerja.

“Penjimatan pengisian jawatan ini tak perlu kerajaan bekukan kerana sepanjang dua tahun pandemik Covid-19 tak ada lantikan pun.

“Ia menyebabkan penjawat awam berada dalam tekanan,” katanya.

Beliau mendakwa insiden kematian bayi di sebuah hospital awam baru-baru berpunca akibat petugas yang terpaksa bekerja lebih masa sehingga menjejaskan kerjanya. – 21 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen