SEORANG aktivis hak orang kurang upaya (OKU) Mexico telah meninggal dunia selepas beliau diserang dan dibakar di Jalisco, kata pejabat pendakwa raya tempatan hari ini.
Ibu kepada seorang kanak-kanak autisme, Luz Raquel Padilla adalah sebahagian daripada “I take care of Mexico,” sebuah organisasi keluarga yang berpengalaman dalam menjaga OKU.
Tiga lelaki dan seorang wanita menyimbah aktivis berusia 35 tahun itu dengan alkohol sebelum membakarnya di sebuah taman di bandar Zapopan, kata pendakwa raya Luis Joaquin Mendez pada sidang media, memetik saksi.
Padilla meninggal dunia pada Selasa akibat “kecederaan yang serius” di sebuah hospital dekat Guadalajara, katanya.
90 peratus badannya dilaporkan melecur.
Di Mexico, purata 10 wanita dibunuh setiap hari, menurut angka rasmi. Kebanyakan kes mempunyai ciri-ciri keganasan berasaskan jantina.
“Kami mengecam pembunuhan aktivis #care Luz Raquel Padilla di #Jalisco, serta sebarang bentuk keganasan terhadap orang yang mempertahankan hak asasi wanita dan memerangi keganasan berasaskan jantina,” tulis UN Women Mexico di Twitter.
Padilla hidup di bawah langkah perlindungan selepas ancaman daripada jiran.
Sebelum ini beliau pernah menyiarkan di media sosial kecaman beberapa tingkah laku jirannya, seperti mendengar muzik yang kuat, yang menjejaskan kesihatan anaknya.
Pada 17 Mei, beliau menyiarkan gambar di Twitter tentang grafiti mengancam di luar rumahnya.
“Kau akan mati,” dan “Aku akan bakar kau hidup-hidup,” mesej itu berbunyi.
“Berapa lama saya perlu hidup dalam ketakutan bahawa sesuatu boleh berlaku kepada saya dan keluarga saya,” tulisnya di sebelah imej itu.
Kes itu disiasat sebagai kemungkinan pembunuhannya, kata pendakwa raya, menunjukkan jiran itu telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Anak lelakinya kini berada dalam jagaan neneknya, yang turut dibantu kerajaan Jalisco, kata pejabat itu.
Tahun ini sekurang-kurangnya 43 orang telah digantung dan 173 cedera dalam serangan kumpulan perusuh di Mexico, menurut laporan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan. – AFP, 21 Julai, 2022.
Komen