AMERIKA Syarikat (AS) dijangka memperkenalkan tambatan harga minyak Rusia menjelang Disember depan, kata Timbalan Setiausaha Perbendaharaan, Wally Adeyemo ketika berucap pada Forum Keselamatan Aspen, lapor Sputnik.
AS akan mengikut langkah diambil oleh Eropah dalam enam pakej yang mereka bentangkan bagi melaksanakan tambatan harga dan menjelang Disember, mereka merancang untuk melaksanakan sekatan perlindungan insurans.
“Kita berada dalam kedudukan mewujudkan penetapan harga yang boleh kita sertai seperti di peringkat global bagi membantu menurunkan harga tenaga global selain turut membenarkan tenaga dari Rusia mengalir ke pasaran,” kata Adeyemo pada Rabu.
Adeyemo berkata sekatan AS seterusnya akan menyasarkan minyak dan gas Rusia.
Dalam enam pakej sekatan anti-Rusia yang diumumkan pada Jun lalu, Eropah turut bersetuju untuk mengenakan sekatan insurans terhadap kapal tangki Rusia.
Menurut Suruhanjaya Eropah, operator EU akan dilarang daripada menawarkan insurans dan membiayai pengangkutan laut eksport minyak Rusia selepas tempoh bertenang enam bulan.
AS katanya akan terus memberi tumpuan terhadap rangkaian bekalan Rusia yang dilihat kritikal terhadap kompleks industri tentera. – Bernama, 21 Julai, 2022.
Komen