Ivana Trump disemadikan di New York


Bekas presiden AS Donald Trump bersama tiga anaknya Donald Trump Jr, Ivanka dan Eric hadir majlis pengebumian Ivana di New York. – Gambar EPA, 21 Julai, 2022.

IVANA Trump, bekas isteri Donald Trump, disemadikan di New York City semalam.

Majlis pengebumian diadakan di Gereja Roman Katolik St. Vincent Ferrer di kawasan kejiranan mewah Upper East Side Manhattan, lapor Agensi Anadolu.

Bekas presiden Amerika Syarikat (AS) itu bersama tiga anaknya Donald Trump Jr, Ivanka Trump dan Eric Trump – turut hadir, menurut beberapa laporan.

Ivana, 73, ditemui meninggal dunia di apartmennya di Manhattan minggu lepas.

Pihak berkuasa memutuskan kematiannya tiada kaitan dengan perbuatan khianat dan banyak laporan mengatakan beliau meninggal dunia selepas terjatuh dari tangga di apartmennya.

Ivana dan Trump berkahwin pada 1977 dan kemudian bercerai pada 1992.

Ahli perniagaan wanita keturunan Czech-AS itu memainkan peranan penting dalam membina empayar Trump, menurut New York Times.

Beliau menjawat beberapa jawatan penting dalam organisasi Trump dan menulis beberapa buku termasuk “Raising Trump,” biografi perkahwinannya dengan bekan presiden itu yang diterbitkan pada 2017. – Bernama, 21 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen