AMERIKA Syarikat (AS) berjanji menghantar lebih banyak sistem roket ketepatan tinggi ke Kyiv susulan Moscow memberi bayangan akan menawan lebih banyak wilayah Ukraine selepas kawasan industri Donbas.
Pengumuman itu dibuat ketika Suruhanjaya Eropah menggesa anggota Kesatuan Eropah (EU) mengurangkan permintaan gas asli bagi mengatasi kebergantungan kepada tenaga Russia, selain blok itu bersetuju menguatkuasakan sekatan import emas Russia.
Ketua Pentagon Lloyd Austin berkata Washington akan menghantar empat lagi Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (Himars) M142 yang berjaya meningkatkan keupayaan Kyiv di medan perang sejak beberapa minggu lalu, dan membolehkan tentera Ukraine menyerang sasaran Russia dari jarak jauh.
“Ukraine perlukan senjata dan peluru untuk bertahan daripada serangan, serta menyerang balas, setakat ini AS sudah hantar 16 Himars ke Kyiv,” katanya.
Terdahulu, Menteri Luar Russia Sergei Lavrov dalam satu temu bual berkata tumpuan tentera Moscow kini tidak hanya tertumpu pada wilayah Lugansk dan Donetsk, yang separuhnya dikawal pemberontak pro-Moscow sejak bertahun lamanya.
“Geografi berbeza sekarang, ia bukan lagi mengenai Lugansk dan Donetsk, tapi juga membabitkan wilayah Kherson, Zaporizhzhia dan beberapa kawasan lain,” katanya.
Sejak pencerobohan Ukraine pada 24 Februari lalu, tentera Russia bergerak ke wilayah berkenaan, dan mencetus kemusnahan ketika menawan beberapa bandar utama selain berdepan pertahanan sengit Ukraine.
Sejak beberapa minggu lalu, Russia turut menyerang sasaran awam Ukraine di beberapa bandar dan pekan yang terletak jauh dari medan perang, menyebabkan ramai orang awam terbunuh, dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menyifatkannya sebagai kempen keganasan. – AFP, 21 Julai, 2022.
Komen