Sri Lanka buat 'pertaruhan bodoh' dengan China, kata CIA


Seorang lelaki menjual bendera Sri Lanka di kawasan protes diadakan membantah krisis ekonomi melanda negara itu. – Gambar EPA, 21 Julai, 2022.

PENGARAH Agensi Perisikan Pusat (CIA) William Burns menyifatkan pertaruhan bodoh Sri Lanka dalam pelaburan berhutang tinggi China sebagai faktor keruntuhan ekonomi, yang perlu diambil iktibar negara lain.

“China ada banyak kelebihan untuk digunakan dan mereka boleh beri tawaran sangat menarik untuk pelaburan mereka,” katanya pada Forum Keselamatan Aspen.

Beliau berkata negara lain perlu meneliti krisis di Sri Lanka yang berhutang besar dengan China, selepas membuat pertaruhan bodoh membabitkan masa depan ekonomi negara itu, dan kesannya Sri Lanka kini menanggung kesengsaraan ekonomi dan politik.

“Saya rasa, ini perlu jadi pengajaran kepada ramai pihak, bukan saja di Asia Barat atau Asia Selatan, sebaliknya seluruh dunia, mengenai kepentingan membuka mata apabila berdepan urusan seperti itu,” katanya.

China melabur besar-besaran di Sri Lanka kerana memiliki lokasi strategik di Lautan Hindi dan berhampiran India, yang dilihat sebagai pesaing Beijing, serta bekerjasama rapat dengan bekas presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa.

Rajapaksa melarikan diri dari negara itu dan meletakkan jawatan susulan berdepan tunjuk perasaan besar-besaran akibat keruntuhan ekonomi Sri Lanka, dengan negara itu hampir kehabisan bekalan makanan dan minyak.

Sri Lanka membuat pinjaman besar dengan China untuk tujuan pelaksanaan projek infrastruktur, namun sebahagiannya kini menjadi projek gajah putih.

Pada 2017, Sri Lanka gagal membayar pinjaman AS$1.4 bilion untuk pembinaan pelabuhan, dan terpaksa memajak infrastruktur itu kepada syarikat China selama 99 tahun.

Berhampiran pelabuhan itu pula adalah Lapangan Terbang Rajapaksa yang dibina dengan hutang AS$200 juta daripada China, di mana walaupun digunakan secara berjimat, ia tidak mampu membayar bil elektrik pada satu ketika.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken secara terbuka menuding jari pada kepungan Russia yang menghalang eksport bijian Ukraine, sebagai antara faktor krisis di Sri Lanka, susulan lonjakan harga makanan. – AFP, 21 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen