Sunak, Truss berebut jawatan PM Britain


Rishi Sunak dan Liz Truss bakal bertemu beberapa minggu lagi dalam pemilihan perdana menteri Britain yang baharu. – Gambar AFP, 21 Julai, 2022.

PESAING utama dalam parti Konservatif, Rishi Sunak dan Liz Truss bakal bertemu beberapa minggu lagi dalam pemilihan perdana menteri Britain yang baharu, selepas ahli Parlimen parti itu membuat undian semalam.

Sunak yang juga bekas menteri kewangan, menawarkan ketelusan fiskal serta berjanji memperbaharui integriti susulan pentadbiran Boris Johnson yang terpalit skandal, mendahului dengan 137 undi dalam undian kelima dan terakhir.

Perebutan tempat kedua pula menyaksikan Truss yang juga setiausaha luar, menang tipis dengan 113 undi berbanding Menteri Perdagangan UK Penny Mordaunt yang memperoleh 105 undi.

Pencalonan Sunak dan Truss kini akan diundi ahli parti Konservatif, bakal menentukan perdana menteri baharu selepas puluhan pertemuan dan perdebatan di televisyen sejak enam minggu lalu.

Keputusan pemilihan itu akan diumumkan pada 5 September namun walau apa juga keputusan, Britain bakal menyaksikan sama ada perdana menteri bukan kulit putih pertama atau perdana menteri wanita ketiga.

“Kita perlu memulihkan kepercayaan, membina semula ekonomi, dan menyatukan semula negara ini,” kata Sunak selepas kemenangannya, ketika Britain berdepan krisis kos sara hidup terburuk sejak beberapa dekad akibat pandemik, perang di Ukraine dan Brexit.

Truss, yang juga calon pilihan penerima taruhan untuk menewaskan Sunak berdasarkan undian terbaru ahli parti, nerlata beliau tidak mengambil mudah dan berasa selesa.

“Saya percaya mengurangkan kadar cukai, membuka peluang kerja, akan membantu memastikan pertumbuhan ekonomi yang diperlukan Britain. Ini juga akan menjamin kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – AFP, 21 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen