Walau banyak cabaran, ahli Parlimen baharu tetap mahu terus berkhidmat


Noel Achariam Diyana Ibrahim

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata antara cabaran utama yang dihadapinya sebagai ahli Parlimen ialah semasa pandemik dalam menangani isu rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2022.

SELAIN menggubal dan membahaskan undang-undang, beberapa ahli Parlimen yang pertama kali dipilih membangkitkan isu dihadapi dan diselesaikan sepanjang penggal pertama mereka serta berharap dapat bertanding semula di kerusi sama untuk memenuhi segala janji.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight akan tetap komited untuk menyelesaikan tugas dan projek yang dilaksanakan di kawasan pilihan raya mereka.

Ahli Parlimen ini menekankan pelbagai cabaran dan halangan yang mereka hadapi sebagai orang baru, seperti berurusan dengan majlis tempatan dan pengundi, serta dalam menangani isu seperti perumahan, kemiskinan, pekerjaan untuk belia dan pembangunan berlebihan.

Pada 2018, sejarah tercipta di Dewan Rakyat apabila 90 ahli Parlimen baharu mengangkat sumpah ketika Pakatan Harapan merampas kuasa dengan menewaskan Barisan Nasional.

The Malaysian Insight menemu bual beberapa ahli Parlimen pertama kali yang dipilih bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai cabaran dihadapi sepanjang tempoh itu.m 

Ahli Parlimen Batu P Prabhakaran

Pada usia 22 tahun, Prabakaran menjadi ahli Parlimen termuda di Dewan Rakyat selepas memenangi kerusi Batu sebagai calon bebas. Beliau kemudian menyertai PKR pada 2018.

Prabakaran berkata pengalaman paling berharga yang diperolehnya sebagai ahli Parlimen ialah mengenali masyarakat, dan melakukan tugas diterima dengan kerja keras.

“Perkara paling penting ialah mengenal pasti isu dan mencari penyelesaian kepada masalah rakyat. Tidak kira sama ada kebajikan mereka, isu perubatan, kesejahteraan belia dan lain-lain.

“Menjadi ahli Parlimen bukan sekadar menjadi ahli Parlimen di Parlimen tetapi juga bertanggungjawab untuk menjaga pengundi kita.”

Beliau berkata ketika mula-mula memegang jawatan sebagai ahli Parlimen muda, terdapat banyak keterujaan tetapi juga terpaksa bekerja keras ketika bertemu pelbagai kumpulan masyarakat sivil, belia dan masyarakat untuk menangani isu mereka.

“Cabaran utama yang saya hadapi adalah daripada pengundi yang memberi kepercayaan kepada saya. Pada awalnya saya ke tempat ibadat, perniagaan dan persatuan penduduk untuk memperkenalkan diri.

“Ini adalah untuk membina jambatan dengan semua masyarakat dan saya bertemu majoriti mereka dan rakyat boleh melihat perubahan sekarang di Batu.”

Bagi kawasannya, beliau berkata mahu memelihara lebih banyak kawasan hijau.

“Kami mendapati beberapa kawasan hijau dijual kepada pemaju. Jadi, kami sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah ini. Terdapat terlalu banyak pembangunan di sini, jadi kami akan membantah mengenainya.”

Mengenai isu negara, beliau berkata mahu terus memperjuangkan hak belia dan menangani isu yang dihadapi oleh mereka.

“Belia adalah penting dalam pembinaan negara. Kita perlu menangani isu seperti pengangguran, perumahan, kos sara hidup yang tinggi dan lain-lain yang perlu diketengahkan kepada kerajaan.

“Jika saya diberi peluang bertanding semula di Batu, saya akan terus memperkasakan rakyat, menangani isu mereka dan memastikan kerusi ini kekal dalam PKR. Tetapi, ia terpulang kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan.”

P Prabakaran menjadi ahli Parlimen termuda di Dewan Rakyat selepas memenangi kerusi Batu sebagai calon bebas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2022.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin

Maria berharap dapat terus berkhidmat kepada pengundinya jika diberi peluang bertanding semula.

Sebagai ahli Parlimen kali pertama, beliau berkata walaupun Petaling Jaya adalah sebuah bandar, terdapat ramai penduduk miskin bandar di kawasan itu.

Beliau berkata kebimbangan utamanya ialah meminta kerajaan negeri menangani isu sosial di kawasan bandar yang merupakan sesuatu yang sukar.

“Lima tahun tidak mencukupi. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan di Petaling Jaya. Saya pastinya mahu meneruskan kerja di sini.”

Beliau berkata antara cabaran utama dihadapinya ialah memastikan kesejahteraan rakyat di rumah pangsa kos rendah.

“Isu penjagaan kesihatan, kemiskinan dan pengangkutan untuk warga emas perlu ditangani.

“Apabila Covid-19 bermula, ia membuatkan semua isu ini bertambah teruk. Saya bimbang mengenainya, terutamanya kanak-kanak yang tidak mendapat nutrien mencukupi. Ini adalah beberapa cabaran yang saya hadapi.”

Beliau berkata bagi menangani isu berkaitan kesihatan, beliau menganjurkan program penjagaan kesihatan setiap bulan di rumah pangsa kos rendah.

Maria berharap kerajaan persekutuan dan negeri turut meneliti infrastruktur dan penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah kerana sesetengahnya berada dalam keadaan usang.

Sebagai ahli Parlimen, Maria berkata kemiskinan menjadi kebimbangan negara.

“Terdapat kos sara hidup yang tinggi, ekonomi memerlukan masa untuk pulih dan terdapat kekurangan pekerjaan. Ini adalah perkara paling dibimbangi rakyat.

Maria Chin berharap dapat terus berkhidmat kepada pengundinya jika diberi peluang bertanding semula pada PRU akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2022.

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad

Ahli Parlimen kali pertama Nik Nazmi, juga daripada PKR, berkata beliau lebih suka kekal dan bertanding di kawasannya.

“Saya secara terbuka menyatakan lebih suka bertanding di sini, tetapi keputusan muktamad terletak pada pucuk pimpinan parti.

“Satu daripada faktor besar untuk kekal di sini ialah meneruskan kerja yang sedang dijalankan (untuk rakyat).”

Katanya, beliau berkhidmat di kawasan itu sejak 2015 ketika berkhidmat dengan kerajaan Selangor.

“Saya melaburkan banyak masa dan usaha dan saya percaya penduduk mengenali saya dan apa yang saya lakukan.

“Masih banyak urusan yang belum selesai di sana. Saya berharap dapat mempertahankan Setiawangsa.”

Beliau berkata antara cabaran utama yang dihadapinya sebagai ahli Parlimen ialah semasa pandemik dalam menangani isu rakyat.

“Saya diberi peluang oleh rakyat dalam pilihan raya yang lalu, jadi saya mempunyai kerja yang perlu dilakukan.

“Ia juga untuk meyakinkan mereka agar kekal bersama saya dalam pilihan raya akan datang.”

Nik Nazmi berkata antara isu yang sedang ditanganinya ialah projek MRT3 yang bakal melibatkan salah satu kawasan perumahan.

“Projek MRT akan menjejaskan kawasan itu. Ia membimbangkan. Saya secara terbuka bercakap mengenai projek itu secara keseluruhan. Tetapi, kesan manusia daripada projek itu sangat nyata.”

“Isu lain ialah di rumah pangsa kos rendah di mana kemiskinan dan makanan kanak-kanak adalah benar sebelum Covid-19 dan ia lebih teruk sekarang. Jadi, banyak usaha diperlukan.”

Sebagai ahli Parlimen, Nik Nazmi berkata fokus utamanya adalah kepada pendidikan terutamanya melibatkan golongan miskin bandar.

Ahli Parlimen Bentong Wong Tack

Bagi Ahli Parlimen Bentong Wong Tack, satu penggal sebagai ahli Parlimen pastinya tidak mencukupi untuk melaksanakan apa yang perlu dilakukan di kampung halamannya di Pahang.

“Kita perlu menangani isu perumahan, kemudahan awam, pembangunan tanah dan isu lain.

“Sejak saya masuk, masih tiada bank di sini, stesen minyak baru didirikan dan tiada ATM sehingga baru-baru ini.

“Komitmen kami sangat mudah, untuk mendekati golongan miskin dan warga emas bagi membantu mereka.”

Ahli Parlimen DAP itu berkata sebahagian daripada dananya juga digunakan untuk membantu sekolah dan rumah uzur yang memerlukan pembaikan.

Wong turut menegur kerajaan negeri mengenai keadaan jalan raya yang teruk di kawasan itu sedangkan ia terletak hanya sejam dari Lembah Klang.

Sebagai ahli Parlimen penggal pertama, beliau berkata beberapa cabaran yang dihadapinya ialah mendapatkan sumber dan berurusan dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Semasa 22 bulan kami dalam kerajaan pusat, kami tidak dapat banyak kerjasama daripada negeri pembangkang ketika itu (Pahang).

“Malah semasa banjir baru-baru ini kami tidak dibenarkan menyertai mesyuarat mereka. Jadi, kami tidak tahu apa yang berlaku.”

Katanya, Bentong mempunyai banyak potensi dan matlamat utamanya adalah untuk menjadikan kawasan itu sebagai hab ekopelancongan.

“Saya akan bekerjasama dengan kumpulan masyarakat sivil tempatan untuk mengekalkan sungai, air terjun dan hutan kita.”

Bagi isu nasional pula, Wong berkata adalah penting bagi kerajaan melihat pemanasan global dan perubahan iklim untuk masa depan.

“Rakyat generasi ini akan menghadapi cabaran di masa depan. Kerajaan dan semua yang terlibat perlu menangani isu ini.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di Baling, Kedah berulang di sini. Saya akan terus membangkitkan isu alam sekitar di Parlimen,” katanya merujuk kepada banjir di Baling minggu lepas.

Berhubung kemungkinan beralih ke kerusi lain, Wong berkata lebih suka kekal di Bentong kerana masih perlu menyelesaikan kerja yang dimulakannya.

Bagaimanapun katanya, sebarang keputusan adalah hak parti.

Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad

Bagi Amin ia merupakan tempoh yang mengajarnya ketika berhadapan pandemik Covid-19 dan ketidaktentuan politik sejak Langkah Sheraton.

Beliau berkata pada masa sama tugasnya juga menuntutnya bersikap fleksibel dan proaktif dalam menjaga hati pengundinya.

“Banyak perkara yang saya belajar terutama ketangkasan memahami proses Parlimen sambil membantu rakyat.

“Saya perlu utamakan keperluan rakyat serta menguruskan semua isu politik.”

Amin berkata terdapat banyak penambahbaikan yang ingin beliau tangani di kawasannya.

“Saya mahu masukkan lebih banyak elemen teknologi dalam pengurusan negeri. Selain itu, terdapat pelbagai isu yang perlu ditangani.”

Amin berkata, keutamaannya di Dewan Rakyat ialah membangkitkan isu pendidikan, kebajikan luar bandar dan memperkukuh institusi kekeluargaan.

Beliau berkata sebagai ahli Parlimen beliau mengambil berat tentang perlembagaan kerana langkah reformasi perlu diambil bagi membolehkan negara maju ke hadapan. – 22 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen