30 individu akan beri keterangan pada inkues kematian Vasanthapiriya 


Looi Sue-Chern

Ketua Polis Pulau Pinang A Thaiveegan menyampaikan sumbangan kepada bapa mendiang Vasanthapiriya Muniandy Ratnam sambil diperhatikan ibu mendiang, A Malarveily selepas sesi dialog bersama pelajar dan guru di IPD Seberang Prai Selatan, Nibong Tebal, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue Chern, 22 Februari, 2018. 

KIRA-kira 30 individu akan beri keterangan pada inkues terbuka kematian remaja di Pulau Pinang, M Vasanthapiriya, yang meninggal dunia dalam koma selepas cuba membunuh diri, kata polis. 

Pesuruhjaya polis Pulau Pinang A. Thaiveegan berkata, Jabatan Peguam Negara telah memberi kebenaran untuk inkues itu dijalankan. 

Beliau berkata, pihaknya kini menunggu tarikh inkues itu ditetapkan. 

“Ia akan menjadi pendengaran terbuka. Terdapat kira-kira 30 saksi. 

“Mungkin lebih ramai akan beri keterangaan, bergantung kepada bagaimana pendengaran itu berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas satu sesi dialog dengan guru dan pelajar India di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Selatan di Nibong Tebal, hari ini. 

Vasanthapiriya yang merupakan pelajar SMK Methodist Nibong Tebal, dituduh mencuri telefon bimbit milik gurunya pada bulan lalu. Dia bagaimanapun menafikan tuduhan itu. 

Dia kemudiannya dilaporkan dihantar pulang ke rumah oleh gurunya pada hari yang sama untuk bertemu ibu bapanya. 

Keluarganya kemudian menemuinya dalam keadaan tergantung pada sehelai selendang di dalam bilik tidurnya. Remaja itu berada dalam keadaan koma seminggu sebelum meninggal dunia pada 1 Februari lalu. 

Kematiannya mencetuskan bantahan di mana saudara maranya dan masyarakat awam menuntut keadilan. 

Guru yang terbabit ditukarkan ke pejabat pelajaran daerah. Dia dilaporkan membuat laporan polis selepas menerima ancaman bunuh. 

Thaiveegan bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya berhubung guru terbabit. 

“Kita tunggu inkues. Kita tidak boleh lagi mengulas lanjut mengenai kes ini,” katanya. 

Terdahulu pada sesi dialig berkenaan, Thaiveegan secara ringkas turut menyentuh mengenai kes berkenaan. 

“Ramai orang bertanya saya adakah polis cuba menutup kes ini. Tetapi kami menjalankan siasatan secara terperinci. 

“Kami lengkapkan siasatan. Kini kita diberi kebenaran untuk mengadakan inkues. 

“Kami memberi komitmen sepenuhnya terhadap kes ini,” katanya.

Pihak polis sebelum ini menerima kritikan kerana tidak mendedahkan oerkembangan siasatan ketika Vasanthapiriya masih dalam koma. 

Thaiveegan turut mnyampaikan sumbangan kepada ibu bapa Vasanthapiriya.

Polis juga turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar miskin pada sesi dialog berkenaan. – 22 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen