China kecam kapal perang AS lalu Selat Taiwan


China hari ini menyelar Amerika Syarikat apabila kapal pemusnah kelas Arleigh Burke USS Benfold melalui Selat Taiwan, yang dianggap Beijing sebagai satu lagi provokasi AS. – Gambar AFP, 20 Julai, 2022.

CHINA pada Rabu menyelar Washington sebagai “pemusnah keamanan” di Selat Taiwan, selepas kapal perang Amerika Syarikat (AS) melalui laluan laut itu.

Beijing melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya yang akan diambil semula suatu hari nanti – dan perairan sempit yang memisahkan pulau itu dan tanah besar China adalah titik penting antara kedua-dua pihak.

Berbeza dengan kedudukan Beijing, AS dan negara lain melihat selat itu sebagai sebahagian daripada perairan antarabangsa dan dengan itu terbuka kepada semua, malah tahun ini sebuah kapal perang AS telah transit di laluan itu hampir setiap bulan.

Pada Selasa, kapal pemusnah kelas Arleigh Burke USS Benfold “menjalankan transit rutin Selat Taiwan ... melalui perairan antarabangsa”, kata Armada Ketujuh AS dalam satu kenyataan.

“Kapal itu transit melalui koridor di Selat yang melangkaui laut wilayah mana-mana Negara pantai,” tambahnya.

Komando Timur China berkata pada Rabu ia telah mengerahkan tentera laut dan udara untuk “mengikuti dan memantau keseluruhan proses”.

“Provokasi AS yang kerap dengan menggunakan kapalnya menunjukkan yang Amerika Syarikat adalah pemusnah keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan serta pengundang risiko,” kata jurucakapnya Kolonel Shi Yi.

Beliau menambah tentera China sentiasa “berjaga-jaga dengan tegas untuk menjaga kedaulatan negara dan integriti wilayah”.

Kementerian pertahanan Taiwan berkata ia telah memantau dengan teliti laluan pemusnah itu dan “keadaan adalah normal”. – AFP, 20 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen