SYRIA pada Rabu memutuskan hubungan diplomatik dengan Ukraine untuk menyokong sekutu rapatnya Rusia, berkata ia respons kepada langkah serupa dibuat Kyiv bulan lepas.
“Republik Arab Syria telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Ukraine selaras dengan prinsip timbal balik dan sebagai tindak balas kepada keputusan kerajaan Ukraine,” kata seorang pegawai kementerian luar, yang tidak dikenali, kepada agensi berita negara SANA.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky sudah mengumumkan beliau memutuskan hubungan dengan Syria bulan lepas selepas Syria mengiktiraf republik pemisah yang disokong Rusia iaitu Donetsk dan Lugansk di timur Ukraine.
“Tidak akan ada lagi hubungan antara Ukraine dan Syria,” kata Zelensky ketika itu.
Donetsk dan Lugansk yang memisahkan diri, yang kemerdekaannya diiktiraf Moscow pada Februari, terletak di wilayah Donbas di tengah-tengah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang dilancarkan pada 24 Februari.
Syria negara pertama selain Rusia yang mengiktiraf kemerdekaan wilayah tersebut.
Kerajaan Presiden Bashar al-Assad, yang sangat bergantung pada sokongan Rusia dalam perang saudara yang telah berlangsung sejak sedekad di negaranya, telah mengiktiraf dua lagi republik pecah tajaan Rusia pada 2018.
Abkhazia dan Ossetia Selatan diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Georgia, yang memperoleh kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet pada 1991, tetapi Rusia dan segelintir negara lain mengiktiraf kemerdekaan mereka. – AFP, 20 Julai, 2022.
Komen