PERIBAHASA China ada menyebut, ‘jika mahu menjadi kaya, binalah jalan dahulu’, dan itulah konsep pembangunan yang dipegang Serbia sejak beberapa tahun ini.
Demikian kata Presiden Serbia, Aleksandar Vucic ketika merasmikan lebuh raya yang mengelilingi bandar Belgrade sektor B5 yang dibina syarikat China pada bulan lalu.
Selain itu, stesen transit di selatan Vientiane, Laos turut mula beroperasi pada 1 Julai, sekali gus menyaksikan barangan dari China boleh transit di situ sebelum memasuki Thailand, meskipun mempunyai perbezaan rel.
Dengan adanya landasan kereta api Laos-China itu, biji kopi dari Yunnan, China kini boleh dibawa ke pasaran Eropah.
Kesalinghubungan infrastruktur, kelancaran perdagangan dan pelaburan serta persefahaman antara rakyat menjadikan rantau ini sangat terbuka selain menekankan konsep saling untung.
Selain itu, faktor kesalinghubungan menjadi pemacu yang kuat terhadap hubungan sosio politik dan perdagangan Asean-China.
Adalah penting untuk Asean dan China memperkukuh kerjasama era baharu yang membawa manfaat bersama sempena hubungan rakan dialog 31 tahun kedua-dua pihak.
Asean juga mendapat kelebihan dalam diplomasi kejiranan dengan China, malah banyak kemajuan baharu dicapai menerusi persahabatan antara kedua-dua pihak.
Bagi penulis, penularan pandemik Covid-19 memberi petunjuk jelas dan kesedaran bahawa kita memerlukan pendekatan baharu dalam menangani ketidakstabilan dan ketidaktentuan suasana geopolitik antarabangsa.
Dengan penghantaran ratusan juta dos vaksin Covid-19 ke 10 negara Asean, termasuk menyediakan bantuan anti-Covid yang lain, boleh dikatakan ia juga sebab China menganggap Asean sebagai rakan utama dalam usaha melawan wabak itu.
China yang juga peneraju pasaran terbesar serantau, mempunyai kaedah lima perkara yang diberi penekanan dalam hubungan kerjasamanya dengan Asean.
Pertama adalah memperkukuh strategi kualiti dalam memperkasakan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Inisiatif Komuniti Asean 2025 bagi memantapkan kerjasama antara China dan Asean.
Kedua, mengukuhkan kerjasama strategi untuk memberi kelebihan kepada ekonomi Asean melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bagi memudahkan aktiviti perdagangan dan import eksport selain memperbanyakkan ekspo perniagaan untuk menjana pembangunan bersama.
Ketiga adalah mengukuhkan rangkaian kesalinghubungan iaitu meningkatkan jaringan pengangkutan serantau seperti landasan kereta api, penerbangan, maritim dan keselamatan siber.
Keempat, memperkukuh inovasi seperti memperluas jaringan e-dagang serta menjayakan ‘Kerjasama Ekonomi Baharu.’
Kelima, memperkukuh sosiobudaya dalam memperkasakan pendidikan, kebudayaan, kesihatan, generasi muda, dan juga media di antara Asean-China.
Inisiatif BRI sejak 2013 membantu merealisasikan Pelan Induk Pengangkutan Asean khususnya dalam sektor pengangkutan seperti jalan raya, kereta api dan laut. Pemulihan infrastruktur ini juga membantu perdagangan dan perjalanan intra-Asean.
Secara umumnya, negara anggota Asean menyambut baik strategi China ini dengan polisi masing-masing sebagai memperoleh manfaat besar daripada inisiatif BRI.
Kepentingan projek ini jelas disambut baik negara-negara Asean sebagai memacu perhubungan dan pembangunan infrastruktur mega di Asia Tenggara biarpun dibatasi dengan pelbagai kekangan daripada faktor dalaman dan luaran.
Pastinya adalah penting untuk China terus setia dan sedia berganding bahu dengan negara anggota Asean bagi mempromosikan kedamaian, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran serantau serta global. – Bernama, 20 Julai, 2022.
Komen